Malaysia sasar peluang dagang baharu menerusi misi eksport ke Timor-Leste - Utusan Malaysia

Malaysia sasar peluang dagang baharu menerusi misi eksport ke Timor-Leste

MOHD MUSTAFA ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan mengetuai Misi Pemerkasaan Eksport (EAM) ke Timor-Leste dari 17 hingga 21 November 2025 di Dili, bagi meneroka peluang dagangan baharu susulan penyertaan rasmi negara itu ke dalam ASEAN pada 26 Oktober lalu.

Menurut Matrade, misi berkenaan menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia–Timor-Leste selepas negara tersebut diterima sebagai anggota ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

“Misi ini bertujuan membuka laluan baharu kepada syarikat Malaysia untuk memasuki pasaran sedang berkembang pesat di rantau Asia Tenggara, selain menyokong proses integrasi ekonomi Timor-Leste dalam ASEAN.

“Seramai 19 syarikat Malaysia akan menyertai misi itu meliputi sektor utama termasuk perkhidmatan minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), jentera, makanan dan minuman, bioteknologi, TVET, latihan serta produk isi rumah,” katanya dalam kenyataan.

Program empat hari tersebut akan merangkumi seminar perniagaan, sesi pembentangan, pertemuan padanan perniagaan, pameran produk dan lawatan tapak ke pusat komersial utama.

Semua sesi rangkaian dan libat urus ini dirancang untuk menghubungkan pengeksport Malaysia dengan persatuan perniagaan Timor-Leste serta pihak berkepentingan lain bagi menghasilkan kerjasama yang bermakna.

Tambahnya, misi itu dianjurkan dengan sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Dili dan menjadi sebahagian daripada usaha Malaysia untuk mempelbagaikan destinasi eksport serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

“Langkah ini selaras dengan matlamat strategik Malaysia untuk memperkukuh kehadiran global dan memposisikan syarikat tempatan sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai, inovatif dan berdaya saing tinggi,” tambahnya.

Melalui sesi rangkaian terarah, Matrade berkata, misi itu juga akan menggalakkan perbincangan mengenai peluang kerjasama, pelaburan dan perkongsian teknologi dalam bidang yang menyokong keutamaan pembangunan Timor-Leste.

“Misi EAM ke Timor-Leste turut menegaskan komitmen Malaysia mempromosikan integrasi perdagangan serantau secara inklusif dan meningkatkan dagangan intra-ASEAN,” katanya.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Timor-Leste bernilai RM85.7 juta, melibatkan eksport sebanyak RM84.1 juta dan import RM1.6 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN