Malaysia kukuh kedudukan peneraju automotif serantau

Malaysia kukuh kedudukan peneraju automotif serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor automotif kekal sebagai antara tonggak industri terpenting negara apabila Malaysia menduduki tempat pertama sebagai pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara bagi separuh pertama 2025, mengatasi negara serantau lain.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi menggalakkan pembangunan ekosistem pembuatan kenderaan elektrik (EV) negara, kerajaan menyelaras semula rangka kerja pengecualian cukai bagi EV binaan sepenuhnya (CBU) yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2025, agar selaras dengan agenda memperkukuh pemasangan tempatan, operasi CKD serta penyetempatan komponen.

Jelasnya, peralihan strategik itu bertujuan mengukuhkan penyertaan industri tempatan serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan serantau.

“Bagi menyokong vendor tempatan, kerajaan akan memperkenalkan senarai keperluan utama dan insentif penyetempatan bagi memperkukuh rantaian bekalan domestik serta memperluas peluang kepada vendor utama untuk berkembang dan mengeksport.

“Juara nasional kita juga menunjukkan kemajuan ketara apabila program EV Perodua kini berada di landasan yang betul, manakala pelancaran Proton e.MAS 5 baru-baru ini jelas membuktikan kemampuan dan aspirasi industri automotif negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ekspo Teknologi Automotif Global (GATE) 2025 di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz berkata, GATE kini muncul sebagai pemangkin utama yang mengubah landskap mobiliti pintar dan ekosistem EV di Malaysia.

“Kami sedang meletakkan asas untuk meningkatkan pengeluar dan pembekal Malaysia menjadi juara multinasional, yang diperkasa oleh kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan inovasi bernilai tinggi.

“GATE mengalu-alukan pengeluar peralatan asal (OEM) global dan pengendali CKD untuk melokalkan perolehan serta melabur di Malaysia sebagai pangkalan strategik bagi fasa pertumbuhan automotif seterusnya di ASEAN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN