MAINJ peruntuk RM5 juta zakat bantu pesakit jantung rakyat Johor di IJN

MAINJ peruntuk RM5 juta zakat bantu pesakit jantung rakyat Johor di IJN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM5 juta bagi membantu pesakit jantung dalam kalangan golongan asnaf dari negeri Johor yang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohd. Fauzi berkata, komitmen baharu itu akan disalurkan secara berperingkat sepanjang tempoh lima tahun (2025 hingga 2029) bagi menampung kos rawatan jantung pesakit asnaf Johor meliputi prosedur dan pembedahan jantung, penggunaan peranti, ubat-ubatan serta rawatan susulan.

Jelasnya, kerjasama antara MAINJ dan IJN kini memasuki tahun kelapan, dengan jumlah keseluruhan bantuan melebihi RM6 juta yang telah dimanfaatkan oleh lebih 1,100 pesakit jantung dari Johor sejak tahun 2017.

“IJN amat menghargai keprihatinan berterusan MAINJ terhadap pesakit kami dari negeri Johor.

“Bagi memastikan bantuan zakat disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak, pegawai Perkhidmatan Kewangan Pesakit IJN turut dilatih dan diiktiraf oleh MAINJ sebagai penilai zakat bertauliah untuk menilai pesakit di bawah kategori asnaf,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, langkah itu secara tidak langsung memudahkan proses penilaian dan mempercepatkan penyaluran bantuan zakat kepada pesakit yang memerlukan.

“Melalui mekanisme tersebut, pesakit yang dikenal pasti sebagai asnaf akan dinilai bersama oleh IJN dan MAINJ bagi memastikan penyaluran dana berlaku secara telus dan berkesan. 

“Dana zakat itu digunakan untuk menampung kos rawatan jantung termasuk prosedur kompleks serta pemasangan peranti seperti stent dan pacemaker,” tambahnya. 

Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan MAINJ dalam memperkukuh bantuan kesihatan kepada golongan asnaf, selain memastikan lebih ramai pesakit Johor mendapat akses kepada rawatan jantung yang menyelamatkan nyawa.

Sebagai pusat rawatan jantung terkemuka negara, IJN komited untuk terus memberikan rawatan kardiovaskular bertaraf dunia kepada pesakit dewasa dan kanak-kanak, seiring tanggungjawab sosialnya memastikan tiada pesakit tercicir daripada menerima rawatan akibat kekangan kewangan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN