Mah Sing catat untung sebelum cukai RM283j, naik 14 peratus

Mah Sing catat untung sebelum cukai RM283j, naik 14 peratus

MAH Sing Group Berhad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM283 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berkahir 30 September 2025, naik 14 peratus berbanding RM249 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut kenyataannya, prestasi kukuh dipacu permintaan berterusan terhadap pembangunan Siri M serta pelaksanaan projek yang lebih berdisiplin.

Bagi tempoh sama, pemaju hartanah itu turut merekodkan jualan hartanah baharu berjumlah RM1.88 bilion, sekali gus meletakkan kumpulan di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM2.65 bilion.

Bagi suku ketiga sahaja, Mah Sing mencatat PBT sebanyak RM96.2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala hasil pula berjumlah RM635.9 juta. 

Hasil itu meningkat 12.4 peratus berbanding suku sebelumnya, dipacu kemajuan fizikal projek yang semakin pesat.

Mah Sing berkata, kedudukan jualan belum dibil kumpulan setakat 30 September 2025 berjumlah RM3.14 bilion, menyokong prestasi yang dijangka kekal kukuh bagi baki tahun kewangan ini, didorong permintaan stabil terhadap pelancaran baharu dan momentum jualan yang berterusan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Datuk Sri Leong Hoy Kum berkata, Mah Sing memperkukuh asas pertumbuhan pada 2025 dengan pemerolehan lima tanah strategik yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan kira-kira RM4.1 bilion.

“Pengurusan modal berhemat serta kedudukan tunai yang kukuh memberi kami ruang untuk terus meneroka peluang bernilai tinggi di koridor pertumbuhan utama. 

“Portfolio kami kekal seiring dengan keperluan pembeli rumah pertama dan golongan berpendapatan pertengahan, selain pengembangan Siri M Grand untuk segmen lebih premium,” katanya.

Setakat 30 September 2025, kumpulan mempunyai kedudukan tunai sekitar RM1.17 bilion dengan penggearan bersih pada paras rendah 0.25 kali, menyediakan asas kukuh bagi potensi peluasan bank tanah, khususnya di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Mengulas mengenai prospek, Mah Sing menjangkakan pasaran hartanah tempatan kekal berdaya tahan pada 2026 disokong kadar pengangguran sekitar tiga peratus, pelarasan gaji penjawat awam antara tujuh hingga 15 peratus dan inisiatif Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkatkan kuasa belian isi rumah. 

“Kemajuan projek infrastruktur utama termasuk RTS Link Johor–Singapura, LRT Pulau Pinang, MRT3 di Lembah Klang serta Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) turut dijangka merancakkan permintaan hartanah di kawasan terlibat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN