PETALING JAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) kembali menganjurkan Karnival Zakat Selangor 2025 dengan lebih 150 pempamer, 1,500 peluang pekerjaan yang berlangsung selama tiga hari dari 27 hingga 29 November 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
LZS berkata, karnival yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 9 malam ini menjadi inisiatif LZS untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan zakat dan mengeratkan hubungan bersama masyarakat dalam suasana yang santai dan inklusif.
Katanya, lebih 150 pempamer daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, industri dan usahawan tempatan turut menyertai karnival ini, memberikan peluang kepada pengunjung meneroka pelbagai program, perkhidmatan dan inisiatif.
“Pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan LZS bagi memahami dengan lebih jelas peranan serta program zakat yang dijalankan sepanjang tahun.
“Tumpuan utama tahun ini ialah Karnival i-Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan daripada 20 majikan merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan, perdagangan, automotif serta makanan dan minuman.
“Inisiatif ini terbuka kepada semua pencari kerja, dengan keutamaan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berdaftar bagi membantu mereka memperoleh peluang kerjaya yang lebih stabil dan bersesuaian,” demikian menurut kenyataan.
Menurut LZS, Karnival Zakat Selangor 2025 turut menampilkan pelbagai tarikan untuk seisi keluarga, antaranya sukaneka rakyat, Zakat Run serta zon E-Sports dan VR Spot yang menawarkan pengalaman digital ringkas dan menyeronokkan.
“Pengunjung juga boleh menikmati Jualan Rahmah dan Food Festival yang menghimpunkan pelbagai pilihan hidangan daripada food truck, selain peluang memenangi hadiah melalui cabutan bertuah yang diadakan setiap hari.
“Bagi pengunjung yang ingin menimba ilmu dan motivasi, Forum Perdana akan mengetengahkan perkongsian berkaitan kehidupan dan kekeluargaan dalam penyampaian yang santai serta mudah difahami.
“Untuk keluarga, kemunculan maskot popular kanak-kanak Omar & Hana pasti menambah keceriaan, manakala Recycle Corner dan pertandingan mewarna disediakan sebagai aktiviti tambahan yang mesra semua peringkat umur,” ujarnya.
Selain itu, sempena Kempen Hujung Tahun LZS, tiga buah motosikal turut ditawarkan sebagai hadiah istimewa untuk pengunjung bertuah sepanjang penganjuran.
Turut disediakan kaunter bancian asnaf, semakan bantuan serta perkhidmatan taksir dan bayaran zakat bagi memudahkan urusan pengunjung sepanjang karnival.
Orang ramai di seluruh Selangor dan kawasan sekitar dijemput hadir ke karnival tersebut yang terbuka secara percuma dan maklumat lanjut boleh didapati media sosial rasmi LZS di Facebook, Instagram dan TikTok.-UTUSAN










