KUALA LUMPUR: LAC Med Berhad (LAC Med) menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM55.6 juta menerusi terbitan awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Berhad pada 10 Disember 2025.
Penyedia peranti perubatan dan penyelesaian bersepadu terkemuka itu menawarkan 74.2 juta saham baharu pada harga 75 sen sesaham.
Modal saham diperbesarkan selepas penyenaraian pula akan terdiri daripada 400 juta saham dengan anggaran modal pasaran berjumlah RM300 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med, Liew Yoon Poh berkata, menerusi IPO itu, kumpulan berhasrat mengukuhkan kedudukan di Malaysia dengan menawarkan peranti perubatan serta penyelesaian bersepadu berkuasa kecerdasan buatan (AI).
“Ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan penyedia perkhidmatan kesihatan, sekaligus mempertingkatkan kualiti penjagaan pesakit.
“Kami juga berhasrat untuk memperluaskan capaian kami ke luar Malaysia dengan mengembangkan kehadiran di Indonesia pada tahun-tahun akan datang.
“Dalam jangka panjang, kami akan memanfaatkan rekod prestasi serta portfolio jenama kukuh kami untuk mengulangi kejayaan yang dicapai di Malaysia dan membawa ke pasaran Indonesia,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Prospektus IPO LAC Med di sini, semalam.
Daripada jumlah hasil tersebut, RM8 juta akan diperuntukkan untuk pelancaran dua segmen perniagaan baharu, iaitu Equipment-as-a-Service (EaaS) dan Perkhidmatan Pengurusan Aset Peranti Perubatan (MEAMS) yang bertujuan menambah baik operasi, mengoptimumkan aset dan mengukuhkan pendapatan berulang LAC Med.
Selain itu, sebanyak RM12 juta akan digunakan untuk menubuhkan ibu pejabat baharu yang akan menampilkan kemudahan penyimpanan yang diperluas dan bilik pameran khas bagi demonstrasi produk.
Sementara itu, RM8 juta disalurkan untuk peluasan serantau ke Indonesia, memanfaatkan permintaan meningkat terhadap infrastruktur kesihatan dan peranti perubatan.
LAC Med akan menubuhkan pejabat cawangan secara progresif untuk memperluas capaian dan mengekalkan kualiti perkhidmatan serta sokongan teknikal, manakala baki hasil akan digunakan untuk membayar pinjaman, modal kerja, dan perbelanjaan penyenaraian.
Yoon Poh berkata, tahun ini, LAC Med telah memperoleh lima jenama antarabangsa baharu untuk meningkatkan sokongan mereka kepada sektor penjagaan kesihatan, memperluaskan aliran hasil dengan penawaran produk yang lebih pelbagai untuk memacu pertumbuhan .
“Dengan portfolio sebanyak 11 jenama kini, ia mencerminkan keyakinan para pembekal terhadap kejayaan berterusan kumpulan.
“Setakat ini, kami menyokong sektor penjagaan kesihatan Malaysia dengan lebih daripada 2,500 unit peralatan perubatan yang dipasang dan lebih 300 pelanggan aktif.
“Rekod prestasi kukuh ini menegaskan peranan kami sebagai rakan perubatan yang dipercayai oleh penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta dan awam serta rakan jenama,” ujarnya.
Selaras dengan potensi pertumbuhan IPO LAC Med, Lembaga Pengarah telah menerima pakai dasar dividen untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan bersih tahunan selepas cukai bagi memberi ganjaran kepada para pemegang saham.
Permohonan untuk melanggan IPO LAC Med dibuka bermula 13 November 2025 hingga 14 November 2025 dan akan ditutup pada 25 November 2025 jam 5.00 petang.
RHB merupakan Penasihat Utama, Penaja Jamin Bersama dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO ini, manakala Alliance ialah Penaja Jamin Bersama. – UTUSAN










