KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, sekali gus mengatasi unjuran awal yang dianggarkan pada 4.8 peratus.
Pertumbuhan yang lebih baik berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.4 peratus yang dicatat pada suku sebelumnya itu didorong oleh permintaan dalam negeri dan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan dan program bantuan wang tunai.
Katanya, aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan modal yang berterusan oleh sektor swasta dan sektor awam.
“Dalam sektor luaran, eksport bersih mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan eksport yang mengatasi pertumbuhan import.
“Daripada segi penawaran, pertumbuhan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan.
“Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan sebahagian besarnya disumbangkan oleh subsektor berkaitan pengguna, manakala prestasi sektor perkilangan didorong oleh pengeluaran barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan barangan berkaitan pengguna yang lebih kukuh,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Ekonomi Suku Ketiga 2025 di Sasana Kijang, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat semula, mencerminkan pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang kembali pulih selepas kerja penyelenggaraan berjadual.
“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 2.4 peratus berbanding 2.2 peratus pada suku kedua 2025,” katanya.
Meskipun persekitaran luaran adalah mencabar, prospek ekonomi Malaysia terus berada pada landasan untuk mencapai pertumbuhan antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada 2025, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Perbelanjaan isi rumah akan didorong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan.
“Aktiviti pelaburan kekal mampan dengan kemajuan projek infrastruktur, pelaksanaan selanjutnya pelaburan swasta yang diluluskan dan pelaksanaan pelan induk nasional. Dari segi luaran, pertumbuhan eksport dijangka terkesan oleh tarif dan permintaan luaran yang lebih sederhana.
“Namun, pertumbuhan akan disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap barangan E&E, pelancongan dalam negeri dan pemulihan dalam eksport berkaitan perlombongan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku ketig 2025 berbanding 5.2 peratus pada suku sebelumnya.
“Bon korporat terkumpul berkembang sebanyak 7.3 peratus berbanding 4.3 peratus pada suku kedua 2025 manakala pertumbuhan dalam pinjaman terkumpul mampan pada 5.6 peratus berbanding 5.5 peratus pada suku kedua.
“Pinjaman perniagaan berkembang sebanyak 5.4 peratus daripada 4.5 peratus pada suku kedua, susulan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan pelaburan terutamanya dalam kalangan bukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Pertumbuhan pinjaman PKS juga meningkat sedikit, disokong oleh pertumbuhan dalam pinjaman modal kerja berikutan tahap permohonan yang berterusan untuk tujuan ini,” katanya.
Sementara itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah menurun sedikit kepada 5.7 peratus berbanding 6.0 peratus pada suku kedua susulan pertumbuhan yang lebih perlahan untuk pinjaman peribadi.
Walau bagaimanapun, permintaan terhadap pinjaman isi rumah secara amnya stabil merentas kebanyakan tujuan pinjaman dengan kelulusan pinjaman yang berterusan. – UTUSAN










