PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2025 dijangka mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 5.2 peratus, mengatasi jangkaan pasaran dan pertumbuhan 4.4 peratus pada suku sebelumnya.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi positif itu banyak disumbangkan oleh sektor eksport yang menunjukkan peningkatan mendadak, terutama dalam industri elektronik dan komponen semikonduktor.
Katanya, walaupun pelaksanaan tarif eksport 19 peratus oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka memberi kesan negatif terhadap perdagangan global, sektor elektronik Malaysia sebaliknya menikmati pengecualian penuh daripada tarif tersebut, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan pesanan dari AS dan beberapa pasaran utama lain.
“Lonjakan pesanan daripada pasaran global, terutamanya dalam kategori cip berteknologi tinggi, telah memperkukuh eksport negara dan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi pada suku ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain sektor elektronik, peningkatan aktiviti dalam pembuatan berorientasikan eksport dan perkhidmatan berkaitan perdagangan turut menyokong pertumbuhan keseluruhan ekonomi.
Beliau turut menjangkakan prestasi positif ini akan berterusan ke suku terakhir 2025 sekiranya permintaan global kekal kukuh dan kadar pertukaran ringgit terus stabil.
Selain itu, sektor pelancongan turut menjadi penyumbang penting kepada prestasi ekonomi negara, disokong oleh dasar kerajaan yang lebih fleksibel dan mesra pelancong.
“Dari Januari hingga Ogos 2025, Malaysia menerima 28.24 juta pelancong antarabangsa, meningkat 16.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019 dan lebih tinggi daripada 24.66 juta pelancong dalam lapan bulan pertama 2024.
“Jumlah ini bukan sahaja tertinggi di Asia Tenggara, malah melebihi destinasi popular seperti Thailand dan Vietnam, menjadikan Malaysia penerima utama pelancong asing di rantau ini.
“Limpahan industri pelancongan kepada ekonomi negara dilihat sangat signifikan, bukan sahaja melalui sumbangan kepada KDNK dan penjanaan pendapatan serta pertukaran asing, tetapi juga dalam penciptaan peluang pekerjaan dalam sektor perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan.
“Sektor ini turut mendorong pertumbuhan ekonomi tempatan, menarik pelaburan asing langsung (FDI) baharu serta meningkatkan pembangunan infrastruktur di pelbagai destinasi pelancongan utama negara,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, KDNK pada suku ketiga dijangka berada pada 4.7 hingga 4.9 peratus didorong oleh prestasi positif sektor eksport, lonjakan kedatangan pelancong asing serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.
“Selain itu, ia turut disokong oleh inisiatif kerajaan seperti program BUDI95 yang membantu menstabilkan harga bahan api, program MyKasih dan pelbagai subsidi bersasar yang meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan kuasa beli rakyat.
“Faktor-faktor ini secara langsung telah memperkukuh permintaan domestik dan aktiviti pengguna, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang,” katanya.
Tambahnya, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini dijangka memberi kesan positif kepada KDNK suku keempat, melalui peningkatan pelaburan, kerjasama serantau serta promosi pelancongan dan perdagangan intra-ASEAN.
“Saya menjangkakan momentum pertumbuhan ini akan berterusan ke suku terakhir 2025, disokong oleh kestabilan mata wang, harga tenaga yang terkawal, permintaan global yang mampan serta dasar fiskal dan monetari yang berhemat,” katanya. – UTUSAN










