Jumlah caruman sukarela KWSP meningkat kepada RM15.30b

Jumlah caruman sukarela KWSP meningkat kepada RM15.30b untuk 9 bulan 2025 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat sebanyak 47.5 peratus kepada RM15.30 bilion pada sembilan bulan 2025, berbanding RM10.37 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sama, jumlah ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup (dahulunya dikenali sebagai Voluntary Excess) ialah 231,034, berbanding 172,829 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dana persaraan  berkata, pasaran tenaga buruh Malaysia dijangka berdaya tahan pada suku terakhir, disokong oleh langkah-langkah dalam Belanjawan 2026, kestabilan makroekonomi, serta pelaburan langsung domestik dan asing.

Katanya, kadar pengangguran menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 3.0 peratus pada September 2025 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Selaras dengan kekuatan pasaran tenaga buruh, KWSP mendaftarkan 427,329 ahli baharu sepanjang sembilan bulan 2025, menjadikan jumlah keseluruhan ahli meningkat kepada lebih 16.5 juta. 

“Daripada jumlah tersebut, 9.07 juta ialah ahli aktif, mewakili 51.7 peratus daripada 17.54 juta tenaga buruh setakat September 2025. Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 55:45 untuk tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan.

KWSP berkata, pendaftaran majikan baharu mencapai 62,401, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP sebanyak 628,321 setakat September 2025. 

Jelasnya, dalam tempoh suku tahunan, jumlah caruman meningkat sebanyak 10.5 peratus kepada RM27.84 bilion, berbanding RM25.20 bilion pada suku ketiga 2024.

“Berikutan pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia bermula dengan gaji Oktober 2025, KWSP giat menangani keperluan peralihan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya. 

“KWSP kekal komited untuk menjalinkan libat urus dengan pihak berkepentingan dan memastikan peralihan berjalan lancar melalui panduan dan sokongan berterusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN