PETALING JAYA: Johor Capital Group (JCG), sebuah entiti baharu di bawah Johor Corporation (JCorp) menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu infrastruktur digital dan ekonomi kecerdasan buatan (AI) negara.
Dua MoU itu dimeterai bersama HGC Global Communications Limited (HGC) dan Legan Group (Legan) sekali gus menandakan satu langkah besar dalam aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi kesalinghubungan digital, infrastruktur data dan inovasi AI.
Pengarah Urusan Kumpulan JCG, Datuk Ts. Mahadhir Aziz berkata, kerjasama dengan dua syarikat dari dari Hong Kong itu sejajar dengan inisiatif strategik Johor Corporation.
“Ia dalam usaha mentransformasikan Johor serta membentuk landskap ekonomi baharu Malaysia melalui pemajuan teknologi sebagai tonggak dengan penyelesaian inovatif,” katanya dalam kenayataan.
MoU bersama HGC adalah membangunkan infrastruktur digital bersepadu merangkumi sistem kabel dasar laut dan darat, stesen pendaratan kabel, pertukaran internet serta perniagaan Data Centre Interconnect (DCI) di bawah Projek East-West Gateway (EWG).
“Projek East-West Gateway bertujuan memperkukuh koridor digital Asia, meningkatkan ketahanan rangkaian dan kecekapan trafik data antara pasaran serantau utama, sambil meletakkan Malaysia sebagai hab kesalinghubungan utama dalam rangkaian tulang belakang internet global.
“Di bawah kerjasama ini, JCG akan bertindak sebagai rakan infrastruktur HGC di Malaysia dan menjadi pemudahcara sambungan gentian terestrial serta menyediakan akses kepada asetnya, termasuk tanah, bangunan dan infrastruktur fizikal kritikal.
“Langkah ini akan menyokong pelaksanaan rangkaian dasar laut dan terestrial generasi baharu sebagai alternatif di seluruh rantau,” katanya.
Sementara itu, MoU berasingan dengan Legan Group pula untuk mewujudkan kerangka kerjasama dalam pemilikan, pembangunan dan operasi pusat data generasi baharu serta pusat data AI di Malaysia, khususnya di Johor.
“Menerusi kerjasama ini, JCG dan Legan akan memberi tumpuan kepada pembangunan fasiliti bersedia AI yang mampu menyokong keperluan pengkomputeran berketumpatan tinggi, sambil memajukan komitmen Malaysia terhadap infrastruktur digital yang lestari dan cekap tenaga.
“Selain infrastruktur, Legan Group akan memacu inovasi merentas industri seperti pembuatan, logistik, kewangan dan penjagaan kesihatan dengan menyediakan Agentic AI yang “selamat dan terjamin” untuk perusahaan dan kerajaan,” ujarnya.
Menurutnya, kerjasama ini akan menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di Malaysia dan luar negara, mempercepat transformasi digital serta membina rantaian nilai AI mampan jangka panjang bukan sahaja untuk perniagaan, tetapi juga untuk rantau ini.
“Ini dengan memperkenalkan platform GPU pelbagai jenama, penyelesaian agentic AI, kluster AI-HPC, pengurusan fasiliti pintar dan perkhidmatan digital canggih lain,
“Matlamatnya adalah untuk menarik kehadiran hyperscaler global, penyedia perkhidmatan awan dan syarikat AI ke Johor, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pintu ekonomi digital strategik bagi Singapura dan rantau ASEAN,” katanya.- UTUSAN










