PETALING JAYA: Indeks nilai seunit eksport Malaysia mencatatkan penurunan marginal sebanyak 0.04 peratus pada Oktober 2025, turun kepada 154.17 mata berbanding 154.23 mata pada bulan sebelumnya, menurut laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sementara itu, indeks nilai seunit import meningkat 0.2 peratus kepada 124.6 mata daripada 124.3 mata pada September.
Namun, terma perdagangan Malaysia mencatat penurunan 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 123.8 mata, dipengaruhi oleh kejatuhan dalam indeks minyak galian.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan nilai seunit eksport disebabkan kemerosotan 1.8 peratus dalam kumpulan minyak galian.
“Walaupun nilai seunit eksport menurun, indeks volum eksport meningkat kukuh sebanyak 6.7 peratus, dipacu oleh pertumbuhan dalam minyak dan lemak binatang & sayur-sayuran meningkat sebanyak 22 peratus, manakala minyak galian meningkat sebanyak 8.4 peratus serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan meningkat sebanyak 3.0 peratus,” katanya.
Sementara itu, indeks volum eksport terlaras bermusim turut meningkat 7.7 peratus kepada 177.0 mata, berbanding 164.3 mata pada bulan sebelumnya.
Secara tahunan, indeks nilai seunit eksport dan volum eksport masing-masing naik 4.3 peratus dan 10.9 peratus.
Bagi import, peningkatan 0.2 peratus dalam indeks nilai seunit dipacu oleh kenaikan dalam kategori minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran meningkat sebanyak 0.5 peratus, manakala makanan meningkat sebanyak 0.1 peratus serta alat jentera & kelengkapan pengangkutan meningkat sebanyak 0.03 peratus.
Indeks volum import turut melonjak 8.6 peratus, disokong oleh pertumbuhan bahan mentah tidak boleh dimakan iaitu sebanyak 26.9 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 13.2 peratus serta barangan keluaran kilang juga menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus.
Tahun ke tahun, nilai seunit import menurun 1.3 peratus manakala volum import meningkat 12.7 peratus.-UTUSAN










