KUALA LUMPUR: Geohan Corporation Berhad menyasarkan meraih RM72.6 juta melalui tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities), sekali gus membuka fasa baharu pengukuhan syarikat dalam industri asas dan geoteknikal negara.
Menurut prospektusnya, IPO yang terdiri sepenuhnya daripada terbitan awam saham baharu berharga 55 sen sesaham itu dibuka untuk permohonan sehingga 21 November dan dijadualkan untuk penyenaraian pada 5 Disember ini.
Pengarah Urusannya, Lee Kim Seng berkata, IPO itu menandakan lonjakan penting selepas tiga dekad membina rekod prestasi kukuh dalam kerja asas dan geoteknikal.
“Langkah ini mengukuhkan kedudukan Geohan dan membuka lebih banyak peluang kontrak berskala besar di seluruh negara. Kami komited meneruskan pertumbuhan mampan serta memperkukuhkan kedudukan dalam sektor geoteknikal negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Prospektus Geohan Corporation Berhad di EQ Kuala Lumpur di sini, semalam.
Tambahnya, sebahagian besar dana IPO iaitu kira-kira RM40 juta akan digunakan untuk membeli empat mesin penggerudian baharu bagi meningkatkan kapasiti serta keberkesanan pelaksanaan projek.
“Sementara itu, RM25.6 juta daripada dana IPO diperuntukkan sebagai modal kerja bagi menyokong pertumbuhan operasi di Malaysia dan Singapura,” jelasnya.
Beliau berkata, selepas 30 tahun dalam industri, Geohan kekal berdaya tahan dan terus melalui pelbagai kitaran ekonomi dengan semangat juang yang tinggi.
Geohan ialah pakar asas dan geoteknik yang terlibat dalam pelbagai projek pembinaan meliputi pembangunan kediaman, bercampur, komersial, industri dan infrastruktur.
Kini, syarikat memiliki buku pesanan bernilai RM390.39 juta setakat 22 Oktober 2025, disokong oleh depot Bukit Beruntung yang menempatkan rangkaian jentera milik sendiri dan kemudahan penyelenggaraan dalaman.
Alliance Islamic Bank Berhad merupakan penasihat utama, pengunderait tunggal dan ejen penempatan bagi penyenaraian ini. – UTUSAN










