Foodie Media catat premium 18.33 peratus di Pasaran ACE

Foodie Media catat premium 18.33 peratus di Pasaran ACE

NICHOLAS Lim Pinn Yang (enam dari kanan) semasa gimik paluan gong sempena penyenaraian Foodie Media Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Foodie Media Berhad (Foodie Media), membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 35.5 sen saham, mewakili premium 5.5 sen atau 18.33 peratus berbanding harga tawaran permulaannya (IPO), 30 sen sesaham.

Syarikat yang terkenal dengan akaun media sosial KL Foodie itu merekodkan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 15.29 juta unit saham dan berjaya mengumpul sebanyak RM41.4 juta menerusi terbitan IPO. 

Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media Berhad, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, penyenaraian itu merupakan sejarah membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran kira-kira RM266 juta. 

“Kami amat bersyukur atas sokongan padu daripada komuniti pelabur  dengan bahagian awam terlebih langgan sebanyak 24.63 kali dan bahagian institusi juga dilanggan sepenuhnya. 

“Keyakinan ini membuktikan kekukuhan platform kami dan potensi visi jangka panjang kami.

“Apabila melihat ke hadapan, fokus kami adalah mengukuhkan tonggak utama iaitu penerbitan media digital, pemasaran KOL, perdagangan afiliasi dan pengurusan kempen, sekali gus memperkembangkan vertikal baharu seperti perdagangan langsung dan penerbitan drama bentuk pendek,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE. 

Beliau berkata, syarikat itu sedang melabur dalam teknologi, keupayaan data dan bakat pada tahun akan datang bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya. 

“Pada masa yang sama, dasar dividen kami untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada keuntungan selepas cukai mencerminkan komitmen kami untuk memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

“Penyenaraian hari ini adalah permulaan kepada sebuah bab baharu. Kami akan terus membina platform media digital tempatan yang memberikan impak berkekalan untuk pelanggan, penonton, warga kerja dan para pelabur kami,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, Nicholas berkata, Foodie media berada dalam segmen yang tepat di mana perhatian pengguna adalah digital dan berasaskan mudah alih. 

Menurutnya, sejak hari pertama Foodie Media bermula, mereka menumpukan perhatian kepada digital, dan media sosial adalah platform di mana semua perhatian tertumpu.

“Jadi, kami komited untuk membangunkannya, mewujudkan lebih banyak nilai kepada audiens, serta menawarkan lebih banyak kempen dan manfaat kepada pelanggan kami.

“Tren ini telah berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beralih daripada media tradisional kepada media digital.

“‘Kami sangat komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Pada dasarnya, perhatian pengguna telah berubah. Jadi, di mana sahaja perhatian pengguna berada, kami ingin berada di situ.

“Melihat data, segmen ini masih berkembang untuk dekad akan datang. Jadi, kami yakin segmen yang kami ceburi ini sangat sihat dan positif,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil daripada IPO itu, sebanyak 50 peratus dana akan digunakan untuk mengembangkan tenaga kerja.

“Pekerja adalah jantung syarikat, enjin teras. Semakin ramai editor yang kami ambil, semakin banyak kandungan dapat dihasilkan untuk audiens dan pelanggan kami. Vertikal kandungan juga akan lebih banyak. Jadi, itulah sebabnya kami melabur banyak untuk mengembangkan tenaga kerja.

“Selain itu, 30 peratus dana akan digunakan untuk membangunkan kemudahan penstriman jualan langsung (live streaming commerce) kerana kami percaya ia penting dalam mengekalkan perhatian dan kesedaran pelanggan,” katanya.

Kumpulan itu terlibat terutamanya dalam segmen perniagaan penerbitan media digital dengan mencipta, menghasilkan dan menerbitkan kandungan digital di laman media sosialnya merentasi pelbagai platform. 

Ini termasuk Facebook, Instagram, TikTok, YouTube, Threads, X, RedNote, Lemon8, Douyin, Telegram dan WhatsApp, serta melalui rangkaian blog gaya hidupnya.

Ia turut mengendalikan portfolio 37 jenama berfokuskan gaya hidup merentasi lima negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina dengan menyampaikan kandungan yang menarik serta dipacu data bagi menghubungkan jenama dan pengguna. 

Sehingga 13 Oktober 2025, portfolio Foodie Media mempunyai jumlah pangkalan pengikut terbesar bagi kandungan digital berfokuskan gaya hidup di Malaysia dengan kira-kira 46.0 juta pengikut.

Pada 25 November lalu Foodie Media mencatatkan hasil sebanyak RM37.1 juta  bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025. 

Segmen penerbitan media digital menjadi pemacu utama, menyumbang RM22.8 juta (61.5 peratus), tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM2.5 juta, manakala keuntungan teras selepas cukai mencecah RM11.9 juta menjadi prestasi terkuat dalam sejarah kumpulan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN