KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan dengan perangkaan awal menunjukkan semua sektor ekonomi terus rancak pada suku ketiga tahun ini, meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ekonomi negara diunjurkan sekitar 5.2 peratus pada suku ketiga oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), walaupun dunia kini menghadapi pelbagai cabaran makroekonomi.
Katanya, satu daripada faktor utama kekuatan ekonomi Malaysia ialah kepelbagaian struktur ekonominya.
“Negara kita tidak bergantung kepada satu produk eksport atau satu pasaran sahaja, namun bersifat berbilang segmen dan pelbagai sumber, sekali gus membolehkan ekonomi terus stabil walaupun terdapat kejutan di peringkat global.
“Berdasarkan unjuran awal DOSM ini, kita dapat lihat hampir semua sektor utama ekonomi berkembang dengan baik.
“Sektor pembinaan meningkat lebih daripada 11 peratus, penggunaan swasta melebihi 5.0 peratus, manakala sektor perlombongan pula mencatat lebih daripada 10 peratus pertumbuhan.
“Secara keseluruhan, ekonomi negara berada pada landasan yang positif. Usaha kerajaan dalam meningkatkan anjakan dan pertumbuhan ekonomi juga menunjukkan hasil yang memberangsangkan,” katanya semasa Sidang Media Innovathon Musim Ketiga di sini, semalam.
Sebelum ini, DOSM mengeluarkan anggaran awal bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang diunjurkan berkembang sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025.
Amir Hamzah berkata, pertumbuhan itu merupakan peningkatan daripada 4.4 peratus pada suku sebelumnya dan didorong terutamanya oleh permintaan domestik yang kukuh, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Beliau berkata, dari segi pelaburan yang diluluskan, Malaysia berjaya menarik sebanyak RM384.5 bilion pelaburan yang masuk ke negara ini tahun lalu.
“Bagi tahun ini pula, setakat pertengahan tahun, kita telah mencatat sekitar RM190 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari hingga Jun).
“Peningkatan ini menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap model ekonomi negara yang kukuh dan berdaya saing.
“Selain itu, pelaburan yang diluluskan juga banyak tertumpu kepada sektor teknologi tinggi (HTS), khususnya dalam bidang semikonduktor serta minyak dan gas (oil & gas),” ujarnya.
Mengulas mengenai adakah ia akan menjadi suku terbaik tahun ini, beliau berkata, perkara itu perlu tunggu dan lihat.
“Insya-Allah, DOSM akan mengumumkan angka rasmi bagi suku ketiga pada 14 September ini.
“Kita berharap angka tersebut akan berada dalam julat yang positif dan prestasi ekonomi negara akan terus kukuh menjelang suku keempat tahun ini,” jelasnya.










