PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus pada suku ketiga 2025, sedikit lebih rendah berbanding anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.2 peratus, menurut Ambank Economics.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan kukuh bagi suku kedua 4.4 peratus disokong oleh aktiviti eksport awal, perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, pasaran buruh yang sihat, serta peningkatan ketibaan pelancong asing.
“Pertumbuhan yang mantap ini menunjukkan permintaan domestik kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.
“Jika unjuran ini direalisasikan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sembilan bulan pertama 2025 akan berada pada kadar 4.6 peratus, selaras dengan unjuran rasmi setahun penuh antara 4.0 hingga 4.8 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut Ambank Economics, ekonomi Malaysia terus membuktikan ketahanan di tengah cabaran global, disokong oleh perbelanjaan swasta yang kukuh dan pasaran buruh yang stabil, dengan kadar pengangguran kekal pada paras terendah 3.0 peratus setakat September 2025.
“Sektor pelancongan turut menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan, dengan 17.8 juta pelancong asing direkodkan bagi tempoh lapan bulan pertama 2025, meningkat lebih lapan peratus berbanding 16.5 juta pelancong bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Dari segi penawaran, pertumbuhan KDNK disokong oleh sektor perkhidmatan yang dijangka berkembang 5.0 peratus tahun ke tahun pada 3Q2025 (suku kedua 2025: 5.1 peratus),” katanya.
Selain itu, sektor pembuatan pula menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan 4.0 peratus (suku kedua 2025: 3.7 peratus), didorong oleh peningkatan pengeluaran dalam segmen eksport seperti elektronik dan produk elektrik, sejajar dengan kitaran pemulihan teknologi global.
Sementara itu, sektor perlombongan dan kuari dijangka melonjak 10.4 peratus, berbanding penyusutan 5.2 peratus pada suku kedua 2025 mencerminkan pemulihan ketara dalam aktiviti pengeluaran.
Semakan ini turut mengambil kira sokongan fiskal tambahan pada suku keempat 2025, termasuk bayaran tunai sekali RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diagihkan pada 31 Oktober lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan sepanjang tahun ini dijangka terus disokong oleh aktiviti pelaburan yang rancak, sektor pelancongan yang memberangsangkan, pasaran buruh yang kukuh, serta inisiatif kerajaan melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA.
“Namun begitu, aktiviti eksport dijangka kembali normal pada suku keempat 2025 selepas lonjakan awal pada suku sebelumnya.
“Ini berikutan penurunan pesanan baharu dalam laporan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia bagi Oktober, yang mungkin memberi tekanan ke bawah terhadap pertumbuhan suku akhir,” katanya.
Pada 2026, unjuran ekonomi kekal berhati-hati dengan pertumbuhan dijangka sederhana kepada 4.2 peratus berikutan kesan tertunda daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat, meskipun langkah konsesi tarif timbal balik sifar peratus dijangka membantu mengurangkan sebahagian tekanan tersebut. – UTUSAN










