E-dagang catat hasil hampir RM1 trilion bagi 9 bulan pertama 2025

E-dagang catat hasil hampir RM1 trilion bagi 9 bulan pertama 2025

PEKERJA bahagian operasi bagi perkhidmatan logistik pemenuhan dan e-dagang. -UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: E-Dagang terus memacu ekonomi digital Malaysia dengan merekodkan pendapatan hampir RM1 trilion bagi sembilan bulan pertama 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, e-dagang mencatatkan pendapatan RM937.5 bilion bagi sembilan bulan pertama 2025, meningkat 1.9 peratus berbanding tempoh sama 2024.

Katanya, pendapatan e-dagang tertinggi direkodkan pada suku kedua 2025 sebanyak RM313.8 bilion, manakala suku ketiga mencatatkan sedikit penyederhanaan kepada RM312.6 bilion. 

“E-dagang memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti perniagaan, meluaskan peluang pasaran dan meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia selaras dengan perkembangan landskap digital,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA) 2024 yang diterbitkan pada 15 Oktober 2025 menunjukkan prestasi kukuh dan berterusan sektor digital Malaysia. 

“Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan e-dagang secara keseluruhan menyumbang 23.4 peratus kepada ekonomi negara, dengan nilai RM451.3 bilion pada 2024, meningkat daripada RM429.3 bilion pada 2023. 

“Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan Nilai Ditambah Kasar dalam industri TMK yang mencapai RM268.7 bilion, didorong oleh sumbangan daripada industri pembuatan TMK (38.5 peratus), perkhidmatan TMK (40.1 peratus), perdagangan TMK(15.4 peratus) dan kandungan & media (6.0 peratus),” katanya.

Sementara itu, beliau  berkata, Laporan Penggunaan ICT dan E-Dagang oleh Pertubuhan 2024 memperlihatkan kemajuan sektor perniagaan dalam mengadaptasi teknologi digital, dengan pendapatan e-dagang meningkat kepada RM1.18 trilion pada tahun 2023. 

Jelasnya, peningkatan ini diterajui oleh sektor pembuatan (RM587.3 bilion) dan sektor perkhidmatan (RM583.0 bilion), di samping perkembangan berterusan dalam sektor pembinaan dan pertanian. 

“Pendigitalan telah menjadi pemangkin ketahanan dan kecekapan dalam operasi perniagaan, membuka ruang inovasi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi global yang dipacu oleh data dan teknologi.

“Transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B) kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan e-dagang, mencecah RM817.1 bilion. 

“Peningkatan paling ketara direkodkan dalam transaksi perniagaan ke pengguna (B2C) yang meningkat kepada RM336.6 bilion, manakala transaksi perniagaan ke kerajaan (B2G) turut berkembang kepada RM30.4 bilion,” jelasnya.

Mohd Uzir berkata, pendapatan e-dagang domestik meningkat kepada RM1.05 trilion, manakala pendapatan antarabangsa mencapai RM131.1 bilion, sekali gus menunjukkan peranan Malaysia yang semakin kukuh dalam perdagangan digital serantau. 

“Perbelanjaan e-dagang turut meningkat kepada RM571.4 bilion, dipacu oleh transaksi domestik dan antarabangsa. 

“Transaksi B2B kekal sebagai komponen perbelanjaan terbesar sebanyak RM443.4 bilion, manakala momentum lebih kukuh dicatatkan bagi perbelanjaan B2C dan B2G, disokong oleh penggunaan yang semakin meluas terhadap sistem perolehan digital dan e-pembayaran dalam kalangan perniagaan,” jelasnya.

Penemuan daripada Laporan Penggunaan ICT dan E-Dagang oleh Pertubuhan 2024 turut menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tahap adaptasi dan penggunaan teknologi digital dalam kalangan perniagaan. 

“Sebanyak 72.7 peratus pertubuhan mempunyai web presence pada tahun 2023, meningkat berbanding 71.4 peratus pada tahun 2022. 

“Media sosial kekal sebagai platform paling luas digunakan (79.1 peratus), diikuti oleh laman web sendiri (57.2 peratus) dan e-pasaran (43.8 peratus),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×