KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah menutup tirai Pertandingan Pidato Piala Pembangunan 2025 pada 17 November 2025, menandakan edisi ketiga inisiatif belia berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan mengukuhkan komitmen Bank dalam melahirkan pemimpin masa hadapan.
Pertandingan tahun ini menyaksikan penyertaan 137 sekolah dari seluruh negara dalam pusingan kelayakan secara maya, dengan 16 finalis dari 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan mara ke peringkat akhir yang berlangsung di Menara Bank Pembangunan, Kuala Lumpur. Para finalis menyampaikan pidato berimpak tinggi berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), mempamerkan tahap kreativiti yang tinggi, keupayaan berfikir secara kritis dan kebolehan berkomunikasi secara berkesan.
Sejak penganjuran sulung pada 2023, pertandingan ini telah berkembang daripada hanya 12 sekolah kepada sebuah platform berprestij peringkat kebangsaan yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengutarakan idea, menilai isu kelestarian dan membina keyakinan ketika berucap di hadapan golongan profesional yang hadir.
“Keupayaan finalis tahun ini mencerminkan bakat dan potensi besar anak-anak muda Malaysia. Pidato mereka menonjolkan kreativiti, keyakinan diri dan kemampuan berfikir secara kritis mengenai isu kelestarian. Kami berbangga menyediakan platform yang membangunkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan sambil memberi inspirasi kepada pelajar untuk menjadi ejen perubahan dalam komuniti mereka,” kata Ketua Pegawai Sumber Manusia BPM, Mohamad Hasnol A. Halim.
Majlis peringkat akhir itu turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, Nooraini Kamaruddin, bersama pegawai-pegawai kementerian, para guru serta penyokong.











