KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Berhad dan AmInvest melancarkan FTSE4Good Bursa Malaysia dana dagangan bursa (ETF), iaitu pertama dan satu-satunya ETF di negara ini yang diiktiraf sebagai pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).
Langkah itu memperkukuh rangkaian ETF sedia ada AmInvest, sekali gus membolehkan pelabur tempatan melabur dalam kumpulan syarikat tersenarai yang menunjukkan prestasi cemerlang dari segi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Dana tersebut direka untuk menjejak prestasi Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, yang menilai syarikat-syarikat daripada Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS berdasarkan metodologi ESG yang telus dan kriteria kecairan yang ditetapkan oleh FTSE Russell dengan kerjasama Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pelancaran tersebut mencerminkan komitmen bersama Bursa dan AmInvest terhadap inovasi produk, pemerkasaan pelabur serta kemajuan kelestarian di pasaran modal negara.
“Bursa Malaysia sedang membina pasaran yang menawarkan lebih banyak pilihan, kecairan lebih mendalam serta peluang luas kepada pelabur untuk mencapai matlamat kewangan mereka sama ada melalui sekuriti, derivatif atau ETF.
“Pada masa ini terdapat 15 ETF tersenarai di Bursa Malaysia dan FTSE4Good Bursa Malaysia ETF menambah kepada rangkaian produk berasaskan ESG yang semakin berkembang.
“Dana baharu itu menjejak prestasi syarikat yang mengamalkan ESG dengan baik, sekali gus membolehkan pelabur menyelaras portfolio mereka dengan prinsip pelaburan bertanggungjawab sambil menggalakkan syarikat tersenarai terus memperkukuh prestasi ESG masing-masing,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Kawal Selia Bursa Malaysia, Julian Mahmud Hashim semasa pelancaran FTSE4Good Bursa Malaysia ETF di sini, semalam.
AmInvest kini merupakan penyedia ETF terbesar di Malaysia dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kira-kira RM1.8 bilion, bersamaan 75.4 peratus pegangan pasaran.
Syarikat itu turut menerajui pengurusan dana layak SRI dengan AUM bernilai RM4.3 bilion, mewakili 28.2 peratus pegangan pasaran, serta menguruskan sembilan dana SRI ketika ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds Management Berhad, Kevin Wong berkata, penerbitan ETF baharu itu selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelabur tempatan terhadap kelebihan pelaburan berasaskan dana dagangan bursa.
Katanya, tahap penyertaan pelabur runcit dalam pasaran ETF masih rendah kerana kebanyakan pelabur lebih gemar memilih saham individu, berbanding memahami manfaat pelaburan secara kolektif melalui ETF.
“Pelabur tempatan biasanya beranggapan mereka mengenali saham pilihan masing-masing dan boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat tersebut.
“Namun, ETF menawarkan kelebihan yang lebih luas termasuk kos penyertaan yang rendah serta kepelbagaian pelaburan yang membantu mengurangkan risiko.
“Melalui inisiatif pendidikan pelabur dan peningkatan kesedaran berterusan, kami yakin penyertaan dalam pasaran ETF tempatan akan terus berkembang,” katanya. – UTUSAN










