BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus - Utusan Malaysia

BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat hari ini.

Bank pusat berkata, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global.

“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.

BNM berkata, prospek pertumbuhan akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan, inflasi yang semakin menurun, dasar monetari yang kurang ketat dan dasar fiskal yang memberikan sokongan, walaupun kesan tarif yang lebih tinggi akan terus mempengaruhi pertumbuhan global.

Menurutnya, penyelesaian lebih banyak rundingan perdagangan telah sedikit sebanyak meredakan ketidakpastian global dan pertumbuhan kekal berisiko menjadi perlahan disebabkan oleh kemungkinan tarif yang lebih tinggi, terutamanya tarif yang khusus bagi produk serta ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.

“Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai penilaian dalam pasaran kewangan yang kekal tinggi.

“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat berikutan kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” ujarnya.

Bagi ekonomi Malaysia, BNM berkata, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan pada suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta pengeluaran komoditi yang kembali pulih.

Pada masa hadapan, katanya, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan terus menyokong pertumbuhan menjelang tahun 2026.

“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN