KUANTAN: Taktik sindiket jenayah menjadikan kediaman tidak berpenghuni sebagai lokasi penyimpanan dadah dan barang seludup terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan kegiatan itu menerusi dua serbuan di Mentakab dan Kuantan, baru-baru ini.
Dalam operasi berkenaan, JKDM Pahang merampas pelbagai jenis dadah, rokok serta minuman keras dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.3 juta termasuk duti dan cukai.
Pengarah Kastam Negeri Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, serbuan pertama dijalankan pada 22 Januari lalu di sebuah kediaman tidak berpenghuni di Mentakab yang dijadikan stor simpanan dadah oleh sindiket terbabit.
“Pemeriksaan ke atas premis berkenaan menemukan lebih 44 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta dipercayai disimpan di kawasan perumahan bagi mengaburi pihak berkuasa serta penduduk setempat.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam, di sini, hari ini.
Mohd. Asri berkata, empat hari selepas itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di kawasan terpencil di daerah ini yang digunakan sebagai tempat simpanan barangan tidak berkastam.
“Hasil pemeriksaan menemukan 1,737.36 liter minuman keras pelbagai jenama serta 43,200 batang rokok tanpa cukai dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM262,000 termasuk duti dan cukai.
Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan tidak berkastam. Siasatan lanjut kedua kes berkenaan masih dijalankan termasuk mengesan individu yang menyewa kediaman terbabit seterusnya mengesan dalang yang terlibat,” katanya. – UTUSAN










