Aquawalk nilai kemungkinan kenaikan harga tiket pada separuh kedua 2026

Aquawalk nilai kemungkinan kenaikan harga tiket pada separuh kedua 2026

AQUAWALK turut meneruskan inisiatif pemuliharaan, seperti pemulihan terumbu karang dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Perikanan Malaysia serta program pelepasan jerung di Phuket.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aquawalk Group Berhad (Aquawalk) sedang menilai kemungkinan menaikkan harga tiket di cawangan utamanya, Aquaria KLCC, susulan pembukaan pameran penguin baharu yang dijangka pada separuh kedua 2026.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aquawalk, Daryl Foong berkata, terdapat banyak peluang untuk pihaknya menilai nilai yang diberikan oleh Aquarium KLCC.

“Aquawalk sentiasa mengambil kira harga antarabangsa, jenis pasaran, jenis pengunjung serta perbandingan antara kami dan fasiliti serupa lain seperti Singapore Oceanarium, yang disebut oleh Apex Securities.

“Ini termasuk juga tempat seperti Hong Kong Ocean Park atau Langkawi Underwater World.

“Kami berusaha memastikan semua tetamu dan pengunjung mendapat nilai yang baik untuk wang mereka dengan pengalaman yang bermakna dari segi pendidikan, pemerkayaan dan hiburan,” katanya pada sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat berkenaan di Pasaran ACE di sini, semalam.

Sebelum ini, penganalisis di Apex Securities memulakan liputan dengan cadangan “beli” terhadap Aquawalk menjelang penyenaraiannya dan menekankan potensi harga yang belum diterokai di Aquaria KLCC kerana ia merupakan salah satu pemacu utama bagi peningkatan pendapatan.

Sementara itu, beliau berkata, Aquawalk turut merancang mengembangkan dan menaik taraf akuariumnya, termasuk aviari dan tangki anjing laut yang diperbaharui di cawangan Phuket, serta akuarium baharu yang dijadualkan di Surabaya, Indonesia dan Kota Kinabalu, Sabah yang dijangka siap pada 2027 dan 2028.

Menurutnya, peratusan pengunjung antarabangsa bagi Aquaria KLCC dan Aquaria Phuket biasanya sekitar 50 peratus.

“Bagi Phuket, pada musim tertentu, peratusan ini boleh meningkat sehingga 60 hingga 65 peratus kerana ia merupakan destinasi pelancongan. Namun secara keseluruhan, terdapat gabungan yang seimbang antara pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, Aquawalk turut meneruskan inisiatif pemuliharaan, seperti pemulihan terumbu karang dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Perikanan Malaysia serta program pelepasan jerung di Phuket.

“Inisiatif ini boleh menyumbang kepada cadangan nilai yang lebih luas dan menyokong strategi jangka panjang kumpulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN