Ahmad Hizzad dilantik sebagai Pengerusi Labuan FSA baharu

Ahmad Hizzad dilantik sebagai Pengerusi Labuan FSA baharu

AHMAD HIZZAD BAHARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengumumkan Menteri Kewangan II telah melantik Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin sebagai Pengerusi Labuan FSA bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa dari 15 November 2025 hingga 14 November 2027.

Labuan FSA berkata, Ahmad Hizzad  kini merupakan Pengerusi FWD Takaful Berhad dan KAF Digital Bank Berhad serta Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank).

Katanya, peranan beliau ketika ini adalah berasaskan kepada kerjaya cemerlang selama lebih 32 tahun bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan beliau memegang pelbagai jawatan penting di beberapa jabatan termasuk perbankan dan takaful Islam, pembangunan sektor kewangan serta sistem dan instrumen pembayaran.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Gabenor BNM dari tahun 2014 hingga bersara pada tahun 2018. 

“Sepanjang kerjayanya, Ahmad Hizzad turut memegang beberapa jawatan kepimpinan penting termasuk Pengerusi Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Mizuho Bank (Malaysia) Berhad. 

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Labuan FSA dari tahun 2011 hingga 2017,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Hizzad  memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari St. Louis University, Missouri dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Eastern Illinois University, Illinois di Amerika Syarikat.

Ketua Pengarah Labuan FSA, Affendi Rashdi berkata, pengalaman luas Ahmad Hizzad  di BNM, digabungkan dengan kepimpinan beliau sebagai bekas Ketua Pengarah Labuan FSA, memberikan beliau pemahaman mendalam terhadap industri kewangan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

“Keluasan ilmu dan pengalaman menjadikan beliau amat sesuai untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Labuan FSA.

“Pihak pengurusan Labuan FSA menantikan panduan dan kepimpinan beliau dalam meneruskan agenda pertumbuhan dan pembangunan Labuan IBFC,” jelasnya.

Sementara itu, Labuan FSA turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusinya, Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah yang telah bersara pada tahun 2024, atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau sepanjang tempoh perkhidmatan di Labuan FSA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN