KUALA LUMPUR: AEON Bank (M) Berhad, bank digital Islamik pertama di Malaysia, memperkukuh kerjasama strategiknya bersama Zurich Malaysia melalui dua entiti Takafulnya, Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad (ZGTMB) dengan menawarkan pelan perlindungan Takaful serendah RM5 sebulan.
Melalui kerjasama ini, pelanggan ditawarkan perlindungan sekiranya berlaku hilang upaya kekal menyeluruh atau kematian akibat kemalangan dengan pilihan jumlah perlindungan sehingga RM50,000 atau RM80,000.
Usaha tersebut merupakan kesinambungan kolaborasi tiga pihak yang dimeterai sejak Mei 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, usaha ini mencerminkan visi bersama untuk memenuhi permintaan pengguna era moden terhadap keselamatan dan kemudahan, dengan matlamat untuk menawarkan perlindungan Takaful patuh syariah pada caruman yang berpatutan dan mudah diakses secara digital melalui aplikasi AEON Bank.
“Kerjasama kami dengan Zurich Takaful menerusi entiti takaful keluarga dan takaful am itu merupakan lanjutan terhadap komitmen AEON Bank untuk menyediakan perlindungan Takaful patuh syariah pada caruman yang berpatutan, diintegrasikan secara lancar dalam ekosistem digital.
“Para pelanggan kami sudah biasa menggunakan aplikasi AEON Bank setiap hari untuk pembayaran digital, serta mengurus belanjawan dan kewangan mereka.
“Justeru, kini mereka boleh memilih pelan Takaful yang sesuai untuk melindungi diri serta keluarga dengan amat mudah melalui aplikasi yang sama.
“Matlamat kami adalah untuk menawarkan produk yang tepat bagi membolehkan pelanggan menjalani kehidupan dengan penuh bermakna lantaran keyakinan bahawa diri dan keluarga mereka dilindungi oleh pelan Takaful yang lengkap,” katanya selepas melancarkan perlindungan insurans antara AEON Bank dan Zurich Takaful di sini hari ini.
AEON Bank dan Zurich Takaful bekerjasama untuk menawarkan nilai dan manfaat terbaik melalui dua produk utama iaitu ‘Personal Accident Takaful’ dan ‘Term Takaful’, kedua-duanya kini boleh diakses dengan mudah melalui aplikasi AEON Bank mulai 29 Oktober 2025.
Kedua-dua pelan untuk golongan berusia 18 hingga 59 tahun itu menawarkan perlindungan yang inklusif pada caruman yang berpatutan, direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful untuk diri dan keluarga, selaras dengan gaya hidup individu, iaitu serendah RM5 sebulan bagi pelan ‘Personal Accident Takaful’ dan RM18 sebulan bagi pelan ‘Term Takaful’.
Jelasnya, pihak AEON Bank sedang menilai potensi memperluaskan perlindungan kepada segmen lain termasuk golongan berusia dan pelanggan dengan keperluan perlindungan lebih tinggi.
“Kami bermula dengan segmen untuk golongan muda, pekerja gig. Seterusnya segmen lebih matang yang memerlukan perlindungan lebih besar dan lebih inklusif,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, kerjasama ini menggabungkan inovasi digital AEON Bank, kepakaran perlindungan global Zurich dan penawaran Zurich Edge dalam menyediakan akses yang lebih mudah bagi rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan Takaful dengan cara yang baharu.
“Dengan lebih 150 tahun pengalaman di peringkat global, Zurich telah meraih kepercayaan jutaan pelanggan di seluruh dunia dengan menyediakan penyelesaian perlindungan yang boleh dipercayai dan berinovasi.
“Matlamat kami adalah untuk menawarkan perlindungan beretika dan inklusif yang dapat diakses oleh semua, dengan memastikan ia mudah untuk disertai, senang difahami dan selari dengan gaya hidup masa kini. Ini merupakan kesinambungan penawaran penyelesaian mikro-Takaful yang memenuhi keperluan individu dan keluarga di seluruh negara, sekali gus membantu membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya.
Selain itu, kedua-dua pelan perlindungan ‘Personal Accident Takaful’ dan ‘Term Takaful’ adalah 100 peratus patuh syariah dan boleh diakses 24 jam melalui aplikasi AEON Bank, membolehkan pelanggan mengurus perlindungan mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi telefon pintar.
Pendekatan ini melenyapkan halangan untuk mendapatkan perlindungan dengan menawarkan nilai terbaik dan pengalaman pengguna yang sepenuhnya digital.
Pelanggan boleh mengakses dengan mudah untuk mengaktifkan perlindungan Takaful melalui aplikasi AEON Bank. – UTUSAN










