KUBANG PASU: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, di sini yang sedang menduduki peperiksaan berdepan detik cemas apabila air memenuhi perkarangan dewan peperiksaan, pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.20 pagi itu, calon ketika itu sedang menduduki peperiksaan bagi subjek Bahasa Melayu Kertas 1 yang bermula sejak pukul 8.15 pagi.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan mengesahkan banjir kilat secara tiba-tiba di kawasan SMK Jitra itu turut melibatkan beberapa bahagian sekolah.
“Semasa peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1, air mula naik di kawasan sekolah. Susulan itu, pegawai Sektor Pengurusan Peperiksaan (SPP) JPN Kedah segera ke lokasi untuk meninjau keadaan,” katanya.
JPN Kedah memaklumkan, 17 calon yang sepatutnya menduduki Pendidikan Seni Visual (PSV) Kertas 1 bermula pukul 11.45 pagi dipindahkan segera ke SMK Tanjung Pauh, bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan dengan selamat.
“Bagi peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2, semua 163 calon SMK Jitra, termasuk calon persendirian dipindahkan ke SMK Bandar Baru Darulaman yang telah disediakan lebih awal sebagai pusat peperiksaan alternatif.
“Proses pemindahan dikendalikan oleh pihak sekolah dengan bantuan trak polis, kenderaan guru dan sokongan waris, dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pihak sekolah bersama SPP Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terus melakukan pemantauan paras air secara berterusan, manakala JPN Kedah memastikan segala keperluan logistik, keselamatan dan pelaksanaan peperiksaan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“JPN Kedah menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan dan semua pihak yang membantu memastikan perjalanan peperiksaan SPM dapat diteruskan tanpa gangguan demi kepentingan calon,” katanya. – UTUSAN










