TH lancar inisiatif celik kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik” - Utusan Malaysia

TH lancar inisiatif celik kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Program Literasi Kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik”, yang bertujuan membina tabiat menabung sejak usia muda serta melahirkan generasi celik kewangan bersedia menunaikan ibadat haji.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, inisiatif itu menjadi platform pendidikan kewangan awal kepada keluarga muda agar lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan dan mampu membina simpanan mencukupi bagi menunaikan rukun Islam kelima pada masa hadapan.

“Trend semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk mendidik masyarakat Islam mengenai pengurusan kewangan. 

“Berdasarkan statistik, sebanyak 53 peratus pendeposit TH mempunyai baki simpanan kurang daripada RM1,300, manakala hampir separuh daripada bakal jemaah musim 1446H/2025M terpaksa menolak tawaran haji kerana kekurangan simpanan,” katanya dalam kenyataan. 

Bagi fasa perintis, TH dengan kerjasama strategik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyasarkan penyertaan sekitar 100 keluarga muda dari Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Program “Cilik-Cilik Dah Celik” merangkumi enam modul utama literasi kewangan iaitu transformasi minda, perancangan kewangan, pengurusan aliran tunai, membina kekayaan, perlindungan daripada penipuan kewangan serta pengurusan hutang.

Sepanjang tempoh enam bulan, peserta akan mengikuti bengkel pendidikan kewangan, simulasi kewangan, pembelajaran atas talian serta aktiviti gamifikasi. 

Anak-anak peserta turut dipantau dalam aspek simpanan secara konsisten, manakala ibu bapa akan menerima ganjaran bulanan dan hadiah utama berdasarkan komitmen dan pencapaian.

Mengulas lanjut, Mustakim berkata, TH memilih ibu bapa muda dengan anak bersekolah sebagai kumpulan sasaran utama kerana mereka berada dalam fasa penting pembentukan tabiat kewangan keluarga.

“Anak-anak belajar melalui teladan ibu bapa. Dengan membimbing keluarga muda lebih awal, kita bukan sahaja membantu mereka mengurus kewangan harian dengan lebih baik, malah melahirkan generasi celik kewangan yang berterusan,” tambahnya. 

Sementara itu, salah seorang peserta, Nurul Alieya Jusoh, berkata, beliau menyertai program tersebut bersama suami dan anak-anak kerana mahu memperbaiki disiplin kewangan keluarga.

“Saya teruja kerana ingin belajar cara mengurus kewangan dengan lebih teratur. Harapan saya agar anak-anak belajar menabung sejak kecil dan kami sekeluarga dapat mencapai impian menunaikan ibadat haji suatu hari nanti,” katanya.

Selain pendidikan kewangan, TH turut menekankan aspek keselamatan digital dengan memberi pendedahan kepada peserta mengenai cara mengenal pasti penipuan kewangan atau ‘scammer’, melindungi data peribadi serta melaporkan cubaan penipuan kepada pihak berkuasa.

Pelaksanaan program ini sekali gus mencerminkan komitmen TH dalam membudayakan amalan menabung dan meningkatkan celik kewangan umat Islam, sejajar dengan matlamat organisasi itu sebagai institusi penyimpan dan pengurus dana haji umat Islam di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN