PETALING JAYA: CGS International kekal neutral dengan pelupusan aset Sunway Hotel Seberang Jaya pada RM60 juta kepada Sunway Medical Centre Penang Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung kepada syarikat induknya, Sunway Bhd.
Firma pelaburan itu berkata, harga pelupusan tersebut menunjukkan kadar had yang menarik sebanyak 5.3 peratus serta premium 9.1 peratus berbanding penilaian.
Katanya, Sunway REIT dijangka mencatatkan keuntungan daripada pelupusan sebanyak RM4 juta berbanding nilai bawaan terkini hotel iaitu RM56 juta.
“Secara keseluruhan, kami neutral terhadap pelupusan Sunway Hotel Seberang Jaya memandangkan hasil daripada pelupusan itu akan digunakan semula untuk pembangunan sebuah hotel baharu.
“Dengan andaian hotel baharu tersebut dapat memulakan operasi pada akhir tahun kewangan 2027 atau awal tahun kewangan 2028 (seiring dengan penyempurnaan pelupusan Sunway Hotel Seberang Jaya), kami menjangkakan kesan terhadap pendapatan adalah minimum,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut pengumuman tersebut, pelupusan itu dijangka akan dimuktamadkan menjelang suku keempat tahun kewangan 2027.
Dalam perkembangan lain, Sunway REIT turut mengumumkan dua projek pembangunan hartanah dengan jumlah anggaran kos pembangunan sebanyak RM602 juta.
Katanya, ini meliputi pembangunan semula Sunway Pier di Pelabuhan Klang menjadi destinasi pelancongan tepi laut berteraskan runcit dengan anggaran kos pembangunan sehingga RM462 juta dan pembinaan sebuah hotel baharu di atas Sunway Carnival Mall di Seberang Jaya, Pulau Pinang (anggaran kos sehingga RM140 juta).
“Sementara itu, walaupun kos pembangunan semula Sunway Pier lebih tinggi berbanding anggaran awal sebanyak RM400 juta, kami melihat langkah ini sebagai strategi positif kerana ia memperluaskan pendedahan REIT kepada segmen pelancongan runcit dan gaya hidup.
“Berdasarkan anggaran hasil sewa bersih (NPI) sebanyak lima hingga enam peratus, kami menjangkakan Sunway Pier akan menyumbang tambahan NPI sekitar RM25 juta hingga RM30 juta setahun (iaitu empat hingga lima peratus daripada NPI tahun kewangan 2027) sebaik ia mula beroperasi pada akhir tahun kewangan 2027,” jelasnya.
CGS International mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap Sunway REIT memandangkan harga sasarannya menunjukkan potensi kenaikan yang terhad, dengan hasil dividen sederhana sebanyak 5.1 peratus bagi tahun kewangan 2026 (berbanding purata sektor sebanyak 5.5%).
“Kami percaya prospek pendapatan Sunway REIT bagi tempoh tahun kewangan 2025 hingga 2027 kekal kukuh, disokong oleh pertumbuhan penggunaan swasta yang sihat serta sumbangan pendapatan tambahan daripada aset baharu,” jelasnya. – UTUSAN










