Sino Sky sasar projek RM250 juta dalam dua tahun

Sino Sky sasar projek RM250 juta dalam dua tahun

KHAIRY Jamaluddin (tiga dari kanan) bersama Harridzs Mohan (tiga dari kiri) ketika merasmikan Pejabat Urusan Sino Sky Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sino Sky Sdn. Bhd., usaha sama syarikat tempatan, OSMI Group dan rakan kongsi dari China, menyasarkan pertumbuhan agresif dengan sasaran projek baharu bernilai RM250 juta dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi Eksekutif Sino Sky, Datuk Harridzs Mohan berkata, sebagai syarikat pemaju dan kontraktor bertaraf G7, Sino Sky memberi tumpuan kepada projek-projek berskala besar yang bernilai melebihi RM5 juta.

“Setakat ini, kami sudah menjalankan projek dengan nilai keseluruhan RM35 juta termasuk pembinaan banglo dan kilang antaranya di Bukit Tunku dan Damansara Heights.

“Kami juga sedang membida untuk projek daripada beberapa pemaju dan kami yakin dapat mencapai sasaran projek bernilai RM250 juta dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi,” katanya selepas Majlis Perasmian Pejabat Urusan Sino Sky yang disempurnakan oleh bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Sino Sky bukan hanya kontraktor malah menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E), infrastruktur serta penyelesaian reka dan bina (design-and-build), menjadikannya rakan strategik yang ideal dalam pembangunan pelbagai jenis projek.

Ujarnya, selaras dengan komitmen terhadap pembangunan tempatan, Sino Sky turut menekankan penciptaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta penglibatan kontraktor kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan projek mereka.

“Kami sedia bekerjasama dengan kontraktor G6 dan G7 tempatan untuk sama-sama memasuki beberapa tender kerajaan mahupun swasta.

“Ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri pembinaan negara secara inklusif dan mampan,” katanya.

Harridzs berkata, apa yang membezakan Sino Sky daripada syarikat pembinaan lain ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini dalam bidang pembinaan, terutamanya dalam mesin render simen dan pengecatan.

“Pendekatan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerja di tapak bina, malah membantu menjimatkan kos dan masa bagi para pelanggan.

“Dengan gabungan kepakaran tempatan dan antarabangsa, SinoSky bersedia memainkan peranan penting dalam memperkukuh landskap pembinaan Malaysia menerusi inovasi, kerjasama strategik dan komitmen terhadap kecemerlangan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN