Sin-Kung Airways, Pos Malaysia perkukuh rangkaian logistik

Sin-Kung Airways, Pos Malaysia perkukuh rangkaian logistik dan operasi udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sin-Kung Airways Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh pakar pengangkutan kargo udara Sin-Kung Logistics Bhd. memeterai beberapa perjanjian perkhidmatan dengan anak syarikat Pos Malaysia Bhd. bagi memperkukuh keupayaan operasi menjelang pelancaran komersialnya pada suku keempat tahun ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani bersama Pos Aviation Sdn. Bhd. dan Pos Aviation Engineering Services Sdn. Bhd. (PAES), meliputi penyediaan perkhidmatan pengendalian darat, katering penerbangan serta sokongan kejuruteraan pesawat di lapangan terbang utama seluruh negara.

Sin-Kung Airways akan memberi tumpuan kepada operasi sewaan kargo udara menggunakan pesawat Boeing 737-400F, manakala Pos Aviation akan menyediakan perkhidmatan pengendalian darat dan katering penerbangan melalui PAES yang turut menawarkan penyelenggaraan kejuruteraan kepada syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa.

Pos Aviation akan menyediakan perkhidmatan pengendalian darat untuk Sin-Kung Airways dan Sin-Kung Logistics di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, meliputi operasi terminal, penerimaan dan penghantaran kargo, pengendalian trak serta pemprosesan manifes.

Pengarah Urusan Sin-Kung Logistics, Alan Ong berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian strategi syarikat untuk membangunkan rangka kerja operasi yang kukuh menjelang pelancaran perkhidmatan penerbangan tidak lama lagi.

“Kerjasama dengan Pos Aviation dan PAES membolehkan kami memanfaatkan infrastruktur serta kepakaran teknikal mereka di seluruh negara bagi memastikan operasi kami memenuhi piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan.

“Perjanjian itu turut memperkukuh integrasi logistik kumpulan melalui Sin-Kung Logistics, sekali gus meningkatkan kecekapan pemprosesan kargo dan masa pusing balik operasi di KLIA dan Pulau Pinang,” katanya. 

Selain itu, Pos Aviation juga akan membekalkan perkhidmatan katering penerbangan dan logistik makanan halal bagi menyokong operasi sewaan kargo Sin-Kung Airways, memastikan konsistensi dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Sementara itu, PAES akan menyediakan sokongan penyelenggaraan barisan dan kejuruteraan untuk armada pesawat Sin-Kung Airways di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Langkawi.

Ini merangkumi pemeriksaan berjadual, pembaikan kerosakan serta bantuan teknikal mengikut piawaian Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Aviation, Saravanan Ramasamy berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pertumbuhan sektor penerbangan dan logistik negara.

“Usaha ini menegaskan peranan Pos Aviation sebagai penyedia penyelesaian penerbangan bersepadu yang menggabungkan perkhidmatan pengendalian darat dan kargo, katering serta kejuruteraan bagi memberikan sokongan operasi menyeluruh kepada rakan penerbangan kami,” katanya.

Kerjasama strategik ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang Sin-Kung Airways untuk mewujudkan ekosistem penerbangan dan logistik bersepadu yang merangkumi pengangkutan udara, operasi darat dan sokongan kejuruteraan. 

Melalui perkongsian dengan penyedia perkhidmatan penerbangan tempatan yang berpengalaman, syarikat itu berhasrat menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab logistik dan penerbangan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×