Sijil halal bantu bahulu telur itik kembangkan pasaran

Sijil halal bantu bahulu telur itik kembangkan pasaran

RAMSIS Enterprise mendapat pensijilan halal Jakim pada akhir 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat makanan, Ramsis Enterprise yakin pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah keperluan strategik untuk usahawan kecil tempatan  membawa produk tradisional ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan Ramsis Enterprise, Nurul Shahira Mazli berkata, dia yang menjual kuih bahulu telur itik itu memohon pensijilan halal pada pertengahan 2023 dan lulus pada hujung 2023. 

“Pada Mac 2025 saya telah dijemput untuk jualan langsung dalam sebuah program stesen televisyen dibawah tajaan Lembaga Pemasaran Persekutuan Persekutuan (FAMA), sijil halal menjadi nilai tambah untuk membawa bahulu ke kaca mata orang ramai.

“Malah, sijil halal ini memberi semangat atau motivasi untuk peniaga kecil untuk kembangkan perniagaan dan berfikiran untuk menjadikan produk mereka ke tahap yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Nurul Shahira yang menjalankan perniagaan di Batu Kikir, Negeri Sembilan itu menjual bahulu Sabut Telur Itik pada harga RM28 (32 biji) dan mempunyai empat perisa baharu iaitu original, pandan, coklat cip, mentega dan pistacio.

Dia menjual bahulu yang dibakar menggunakan sabut arang dan masih mengekalkan cara lama. 

“Bahulu kami berbeza sebab menggunakan telur itik dan rasa bahulu sangat berbeza dari bahulu biasa. 

“Rasanya lebih berlemak, gebu berbanding bahulu telur ayam lebih liat dan kering dan pemilihan telur itik sangat penting untuk mendapatkan rasa yang sedap dan berlemak serta ditambah dengan aroma asap dan kayu api,” katanya. 

Nurul Shahira memaklumkan, bahulu telur itik yang mampu bertahan selama empat minggu ini telah berada di platform atas talian seperti TikTok Shop dan mula memasuki stesen minyak.

Dia turut menasihatkan usahawan berfikiran luas dan ke hadapan untuk perniagaan mereka supaya boleh menyumbang kepada keluarga, ekonomi setempat dan akhirnya kepada ekonomi Islam dan negara. 

“Jangan dipandang perjalanan yang kecil itu tiada manfaat, tapi kitalah batu bata yang melengkapkan masyarakat kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN