PETALING JAYA:Walaupun berdepan dengan beberapa cabaran luaran dan domestik, sektor perbankan Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, didorong oleh pendapatan yang stabil, kualiti aset yang terkawal, serta potensi pembayaran dividen yang menarik, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan prospek asas sektor ini kekal kukuh bagi suku-suku mendatang, meskipun berlaku penyusutan margin faedah bersih (Net Interest Margin, NIM) susulan daripada pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini.
“Walau begitu, daya tahan institusi kewangan tempatan terus menyerlah, terutama dalam konteks pemulihan ekonomi pasca pandemik dan landskap kadar faedah yang lebih stabil.
“Beberapa faktor utama termasuk aliran masuk modal asing iaitu sektor perbankan berpotensi menjadi penerima manfaat utama sekiranya jurang antara OPR dan Kadar Dana Persekutuan AS (Fed Funds Rate) terus mengecil.
“Dengan pendirian dasar monetari yang kekal dovish, bank-bank tempatan dijangka menarik lebih banyak aliran masuk dana dari pasaran sedang pesat membangun,” katanya dalam satu nota penyelidikan. Selain itu, MBSB Research memaklumkan, prospek pembayaran dividen semakin cerah dengan jangkaan pertumbuhan pinjaman yang sederhana dan pengurangan kebimbangan terhadap pelaksanaan Basel III.
Katanya, beberapa bank memberi petunjuk akan peningkatan pembayaran dividen menjelang akhir tahun ini.
“Pendapatan bukan faedah dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan pada tahun kewangan 2025.
“Segmen seperti pengurusan kekayaan, bancassurance dan pasaran modal hutang dijangka terus menyumbang secara signifikan, disokong oleh volatiliti pertukaran mata wang asing serta penurunan hasil bon,” katanya.
MBSB Research berkata, kebanyakan institusi kewangan mengekalkan nisbah kecairan yang sihat, memberi ruang untuk pengoptimuman struktur pinjaman dan deposit.
Katanya, langkah ini dijangka mengimbangi tekanan ke atas NIM dalam tempoh akan datang.
Faktor lain yang dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan dan kestabilan dalam tempoh mendatang adalah pertumbuhan pinjaman dijangka sederhana, dengan persaingan sengit dalam pasaran gadai janji kediaman serta penyusutan margin dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Tambahan pula, beberapa bank berhati-hati untuk mengembangkan portfolio disebabkan oleh kewujudan pinjaman bermasalah,” katanya.
Selain itu, penyusutan NIM menjadi kebimbangan utama susulan pemotongan kadar OPR.
“Pasaran juga menjangka kemungkinan berlaku lagi satu pusingan pemotongan kadar pada separuh kedua 2025, yang akan terus memberi tekanan kepada margin keuntungan bank.
“Malah, kualiti aset menunjukkan prestasi yang berbeza-beza antara bank, dengan sebahagian menunjukkan pemulihan yang baik manakala yang lain masih bergelut dengan portfolio pinjaman yang bermasalah,” katanya.
Secara keseluruhannya, sektor perbankan Malaysia kekal sebagai antara sektor yang menarik dari segi penjanaan hasil dividen dan kestabilan asas, walaupun dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar.
Pelabur jangka sederhana hingga panjang dijangka terus menaruh keyakinan terhadap prospek sektor ini, terutamanya sekiranya aliran masuk asing meningkat dan tekanan ke atas margin dapat dikawal dengan berkesan.-UTUSAN