SC, Teraju perkukuh kerjasama tingkat akses pasaran modal syarikat bumiputera - Utusan Malaysia

SC, Teraju perkukuh kerjasama tingkat akses pasaran modal syarikat bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Teraju Bumiputera Corporation (Teraju) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memudah cara akses pembiayaan pasaran modal kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan (MTC) bumiputera. 

Pemeteraian MoU selama dua tahun itu sekali gus membuka lebih banyak peluang pertumbuhan dan perluasan pasaran kepada syarikat tempatan.

Selain memperluas akses pembiayaan, MoU ini turut memperkukuh inisiatif pembinaan kapasiti dan kesediaan penjanaan modal dalam kalangan PMKS dan MTC, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan keperluan memperkasa usahawan Bumiputera agar mampu bersaing di peringkat serantau dan global.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, syarikat bumiputera mempunyai potensi besar untuk berkembang, dan pembiayaan pasaran modal boleh menjadi pemangkin penting untuk menggerakkan mereka ke fasa pertumbuhan seterusnya.

“Melalui kerjasama dengan Teraju, kami menyasarkan untuk membina lebih banyak syarikat sedia pelaburan yang kukuh bagi mengumpul dana, mengembangkan perniagaan dan bersaing di peringkat serantau,” katanya.

Usaha ini akan dilaksanakan melalui inisiatif pembinaan kapasiti yang disasarkan, termasuk penciptaan kohort Elevate-Teraju di bawah program Elevate kendalian SC melalui Capital Markets Malaysia (CMM).

Program Elevate merupakan inisiatif pembangunan kepimpinan eksekutif dan pengumpulan dana yang membantu PMKS serta MTC memperkukuh strategi perniagaan, tadbir urus dan pengurusan kewangan agar memenuhi jangkaan pelabur. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi berkata, kerjasama strategik tersebut membuka laluan baharu kepada syarikat Bumiputera untuk berkembang melangkaui pembiayaan tradisional.

“Dengan kerjasama SC, kami menyediakan lebih banyak perusahaan bumiputera untuk mengakses peluang pasaran modal dengan tadbir urus yang kukuh, disiplin kewangan yang lebih baik dan keyakinan untuk bersaing di peringkat global,” ujarnya.

Hasil utama daripada kerjasama ini adalah untuk mengukuhkan kesediaan mengumpul dana dan kapasiti kepimpinan syarikat bumiputera. 

Sejak dilancarkan, lima kohort dengan 78 syarikat telah berjaya menamatkan program tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN