KUALA LUMPUR: Skim Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) Malaysia, yang menawarkan insentif cukai untuk keluarga kaya menempatkan aset mereka di negara ini, menyasarkan untuk menarik RM2 bilion aset di bawah pengurusan (AUM) menjelang akhir 2026.
Peraturan cukai untuk skim itu telah diwartakan pada 3 Oktober lalu dan setakat ini, kebanyakan minat datang daripada rakyat Malaysia, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, kerajaan dengan sokongan SC telah mewujudkan skim insentif komprehensif untuk mengukuhkan ekosistem pejabat keluarga Malaysia dengan menubuhkan sebuah pusat sehenti yang berfungsi sebagai platform pusat untuk memperkemas perkhidmatan.
“Model penyelarasan perkhidmatan sehenti seterusnya memberikan kejelasan dan menghapuskan kerumitan, menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk keluarga kaya dan pelabur antarabangsa.
“Melihat ke hadapan, kami menjangkakan pertambahan minat daripada pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar SFO di sini hari ini.
Sehingga kini, SC telah menerima lebih 30 penyertaan minat (Eol) daripada keluarga berpendapatan tinggi dalam dan luar negara dengan enam keluarga diberikan kelulusan bersyarat bernilai indikatif hampir RM400 juta.
Angka itu jauh melepasi jangkaan awal sejak skim dilancarkan pada September tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Urusan SC, Datin Azalina Adham berkata, sejak pelancaran rasmi skim berkenaan oleh Menteri Kewangan Kedua pada tahun lalu, pihaknya telah mengadakan lebih 50 sesi perundingan dan libat urus bersama penasihat kewangan, wakil keluarga berpendapatan tinggi serta rakan industri dalam dan luar negara.
“Melalui sesi-sesi ini, kami berbesar hati apabila enam kelulusan bersyarat telah diberikan dengan jumlah AUM kira-kira AS$400 juta (RM1.68 bilion),” katanya.
Menurut beliau, skim ini dibangunkan dengan struktur dua komponen utama iaitu dana yang menempatkan aset serta syarikat pengurusan yang mengendalikan operasi pelaburan.
“Setiap pejabat keluarga dikehendaki mempunyai sekurang-kurangnya AS$10 juta (RM42.08 juta) aset di bawah pengurusan AUM dan perlu melabur sekurang-kurangnya 10 peratus atau AS$10 juta (RM42.08 juta) dalam pelaburan tempatan yang digalakkan pada tahun pertama.
“Syarat ini diwujudkan bagi memastikan setiap SFO benar-benar beroperasi dan menyumbang kepada aktiviti ekonomi tempatan termasuk menyewa pejabat fizikal sekurang-kurangnya 450 kaki persegi di Forest City, Pulau Satu serta menggaji sekurang-kurangnya dua kakitangan sepenuh masa yang terdiri daripada seorang profesional pelaburan dan seorang pengarah,” ujarnya. – UTUSAN