RPP tingkat inovasi, inklusiviti dan keselamatan

RPP tingkat inovasi, inklusiviti dan keselamatan

AZRUL FAKHZAN MAINOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) adalah penyedia infrastruktur pembayaran nasional Malaysia. 

Ia ditubuhkan sebagai hasil penggabungan antara Malaysian Electronic Payment System (MEPS) dan entiti lain dalam usaha menyatukan serta memodenkan ekosistem pembayaran negara.

PayNet dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pemegang saham utama bersama beberapa bank utama di Malaysia.

Lebih menarik, kini, Real-Time Payments Platform (RPP), infrastruktur utama di sebalik sistem pembayaran masa nyata di Malaysia, menjadi transaksi antara bank dan penyedia perkhidmatan kewangan dilakukan secara segera 24 sehari, tujuh hari seminggu, termasuk pada hari cuti umum.

Wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi menemu bual Ketua Pegawai Komersial Paynet, Azrul Fakhzan Mainor untuk berkongsi lebih lanjut mengenai RRP. 

UTUSAN: Apakah perkembangan terkini sistem Real-Time Payments Platform (RPP) dalam kalangan rakyat Malaysia sejak ia diperkenalkan?

AZRUL: Sistem Real-Time Payments Platform (RPP) kini berada pada fasa matang sejak pelancarannya pada 2018. 

Sistem ini telah membuktikan tahap kestabilan, kebolehpercayaan dan kadar penggunaan yang tinggi dalam kalangan rakyat serta peniaga di seluruh negara. 

DuitNow QR kini juga telah menjadi satu daripada kaedah pembayaran digital yang popular dalam infrastruktur pembayaran negara dan memainkan peranan utama dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Pada akhir 2024, terdapat lebih daripada 2.6 juta titik penerimaan DuitNow QR berdaftar di seluruh Malaysia. 

Kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara PayNet, pemeroleh pihak ketiga dan penyedia e-dompet. 

PayNet juga secara berterusan menaik taraf sistem ini agar lebih ramai rakyat dapat menggunakannya dengan mudah, selamat dan telus tanpa caj tersembunyi. 

Apa yang paling penting, memberi pengalaman pembayaran yang lancar, dipercayai dan mudah diakses kepada rakyat dan peniaga di seluruh negara.

 

Apakah keunikan pendekatan PayNet dalam membina ekosistem RPP berbanding negara lain?

Ekosistem RPP di Malaysia yang telah ditetapkan sebagai sistem pembayaran oleh BNM pada Februari 2023 meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam sistem RPP di Asia Tenggara. 

Namun, sistem di Malaysia direka bentuk khusus untuk keperluan tempatan yang merangkumi pelbagai penggunaan.

Satu daripada keunikan ketara ialah pengenalan DuitNow QR yang menyatukan pelbagai kod QR sedia ada menjadi satu standard tunggal dengan kebolehoperasian tinggi. 

Ini membolehkan peniaga hanya perlu menggunakan satu kod QR sahaja untuk menerima pembayaran digital daripada pelbagai e-dompet dan aplikasi perbankan mudah alih. 

Pendekatan ini menjadikan kaedah pembayaran digital lebih inklusif, mesra pengguna dan selamat dari peniaga kecil sehingga peruncit besar di seluruh negara.

Selain itu, PayNet mengutamakan prinsip keterangkuman, kebolehoperasian dan keselamatan sebagai asas utama pembangunan RPP supaya tiada kumpulan yang terpinggir dalam arus digital ini.

 

Bagaimana RPP menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia?

Sebagai nadi ekonomi digital negara, pembayaran digital menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk mencapai sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025. 

PayNet memainkan peranan penting sebagai infrastruktur kritikal nasional dengan nilai transaksi yang sudahpun mencecah lebih daripada tiga kali ganda KDNK negara pada 2024, ia merupakan enjin yang menggerakkan ekosistem kewangan dan perdagangan moden.

Melangkaui pemudahan transaksi harian, pembayaran digital merancakkan pertumbuhan e-dagang, memperkasa penyampaian perkhidmatan kerajaan digital dan membuka gerbang kepada perdagangan rentas sempadan. 

Paling penting, ia menjadi jambatan keterangkuman kewangan, memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar, untuk bersaing dan berkembang maju dalam ekonomi digital yang semakin kompetitif.

Melalui inisiatif seperti kebolehoperasian QR rentas sempadan, pembayaran digital meletakkan Malaysia di landasan yang tepat untuk menjadi sebuah hab digital serantau yang berdaya saing, inklusif dan mampan.

 

Bagaimanakah kerjasama dengan sektor swasta atau pemain industri teknologi kewangan dapat mempercepatkan pembangunan sistem pembayaran digital di Malaysia?

PayNet melihat sektor swasta sebagai rakan strategik utama dalam memperkasakan sistem pembayaran negara. 

Pemain industri teknologi kewangan mempunyai pemahaman yang lebih mendalam terhadap tingkah laku dan keperluan pengguna.

Inisiatif terbaharu PayNet iaitu Fintech Hub yang dilancarkan pada Mei lalu  berperanan sebagai pemangkin inovasi dalam ekosistem kewangan digital negara. 

Melalui Fintech Hub, PayNet bekerjasama dengan rakan strategik industri termasuk bank, pemeroleh pihak ketiga, dan penyedia e-dompet untuk menyokong syarikat pemula, pemain sektor teknologi kewangan dan institusi kewangan melalui bimbingan, pelaburan serta jaringan industri.

Platform ini menjadi ruang kolaborasi untuk menguji, membangunkan dan melancarkan penyelesaian pembayaran inovatif, seterusnya memperluas kebolehoperasian dan meningkatkan inklusiviti dalam ekosistem pembayaran digital negara.

Selain meningkatkan kemajuan RPP, apakah usaha lain oleh PayNet dalam menyokong inovasi dan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia pada tahun ini?

Selain pelancaran Fintech Hub, kami turut bekerjasama dengan BNM dalam penubuhan National Fraud Portal (NFP), sebuah platform anti-penipuan yang bertujuan memperkukuh keupayaan industri kewangan dalam memerangi penipuan kewangan. 

NFP berfungsi sebagai pusat teknikal yang menyelaraskan pelbagai institusi kewangan dalam pengurusan dan pembanterasan penipuan, membolehkan proses pengesanan dan pemulihan dana dilakukan dengan lebih efisien dan meningkatkan peluang dana dapat dipulihkan.

Selain itu, inisiatif Open Finance yang disokong PayNet selaras dengan visi BNM untuk mewujudkan ekosistem terbuka bagi perkongsian data kewangan secara berasaskan kebenaran pelanggan (customer-permissioned) dalam sistem yang selamat dan terjamin.

Open Finance memberi pengguna kawalan terhadap data kewangan mereka, membolehkan produk yang lebih diperibadikan, pandangan kewangan yang lebih baik, serta keputusan yang lebih bijak.

 

Kerjasama antara PayNet, Alipay+ dan Weixin Pay yang baru-baru ini adalah untuk menggalakkan perbelanjaan pelancong di Malaysia. Bagaimana kerjasama ini memudahkan pelancong dan memberi manfaat kepada peniaga tempatan?

Kerjasama antara PayNet, Alipay+ dan Weixin Pay memudahkan pelancong membuat pembayaran digital di Malaysia dengan hanya menggunakan e-dompet yang sudah tersedia pada telefon pintar mereka.

Alipay+ menyediakan kemudahan pembayaran untuk pelancong dari China dan negara lain, manakala Weixin Pay khusus untuk pelancong China. 

Sejak pelancarannya, jumlah transaksi melalui Alipay+ dan Weixin Pay telah melebihi 15 juta dengan nilai RM1.1 bilion. Melalui kerjasama ini, pelancong hanya perlu mengimbas kod DuitNow QR tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan.

Bagi peniaga tempatan, terutamanya bagi peniaga kecil, ini membantu mereka menerima pembayaran daripada pelancong asing dengan sistem yang sedia ada iaitu DuitNow QR. Ini secara langsung meningkatkan daya tarikan pelancong luar negara dan hasil jualan mereka melalui sistem yang lebih inklusif.

 

Dengan perkembangan teknologi kewangan yang semakin pesat di Malaysia, apakah inisiatif lain yang diperkenalkan oleh PayNet bagi memastikan Malaysia seiring dengan perkembangan global?

Pada tahun 2024, PayNet memperkenalkan sebuah kertas putih yang menggariskan bagaimana sesebuah negara boleh membina dan menguruskan sistem kecerdasan buatan (AI) selaras dengan keperluan keselamatan negara, identiti budaya, ketahanan ekonomi dan kepercayaan awam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN