Peruntukan Belanjawan 2026 diunjur lebih tinggi cecah RM430 bilion - Utusan Malaysia

Peruntukan Belanjawan 2026 diunjur lebih tinggi cecah RM430 bilion

PERUNTUKAN Belanjawan 2026 dijangka lebih tinggi berbanding sebelumnya. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan peruntukan lebih tinggi sekitar RM430 bilion pada Belanjawan 2026 Jumaat ini, berbanding RM421 bilion menerusi Belanjawan 2025 yang merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah setakat ini, selari dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kekal positif.

Peningkatan ini dijangka menyumbang kepada pertambahan hasil negara, sekali gus memberi ruang fiskal yang lebih luas untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan serta reformasi ekonomi.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, lonjakan peruntukan ini mencerminkan usaha dan komitmen kerajaan dalam memperkemas pengurusan fiskal negara, termasuk langkah-langkah untuk mengurangkan ketirisan, pembaziran, dan rasuah dalam perbelanjaan awam.

“Antara langkah penting ialah pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel dan RON95 secara berperingkat, yang bukan sahaja akan mengurangkan beban fiskal, tetapi juga memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Peruntukan lebih tinggi itu perlu diurus dengan telus dan berhemah, sejajar dengan prinsip tadbir urus baik yang menjadi teras kepada reformasi fiskal kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata, persekitaran ekonomi global yang lebih stabil dan pemulihan sektor domestik turut memberi keyakinan bahawa pertumbuhan KDNK akan terus kukuh, sekali gus meningkatkan hasil kutipan cukai dan pendapatan negara.

“Langkah ini dijangka memberikan impak positif kepada sektor awam dan swasta, di samping meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan fiskal Malaysia dalam jangka sederhana dan panjang,” ujarnya.

MBSB Research turut berpandangan sama, di mana defisit fiskal dijangka akan berkurangan kepada RM78 bilion pada 2026, menurunkan nisbah defisit kepada KDNK kepada 3.6 peratus (unjuran 2025: -3.8 peratus), dengan andaian pertumbuhan ekonomi kekal sederhana pada kadar 4.0 peratus hingga 4.5 peratus.

Katanya, Belanjawan 2026 dijangka akan memastikan sokongan fiskal kepada ekonomi terus diberi penekanan, sekali gus menonjolkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap agenda reformasi ekonomi negara.

“Belanjawan 2026 akan mengetengahkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap reformasi ekonomi negara dan memperkukuh daya tahan negara terhadap ketidaktentuan luaran yang berterusan.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan akan ada inisiatif untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia, terutamanya yang menawarkan pekerjaan bergaji tinggi peluang untuk bakat tempatan,” katanya dalam nota penyelidikan.

MBSB Investment Bank berkata, pihaknya tidak menjangkakan perubahan besar dalam sistem percukaian memandangkan penekanan masih diberikan kepada usaha meningkatkan pematuhan dan kutipan cukai.

Jelasnya, antara langkah berkaitan cukai yang berpotensi ialah pelarasan kadar cukai dan peluasan skop cukai, pelaksanaan cukai karbon serta peluasan cukai pro kesihatan meliputi lebih daripada minuman bergula.

“Perbelanjaan mengurus kerajaan dijangka meningkat kepada RM351 bilion, termasuk fasa seterusnya kenaikan gaji penjawat awam, peruntukan berterusan bagi bantuan sosial dan subsidi.

“Rasionalisasi subsidi berkemungkinan dapat menjana lebih banyak penjimatan yang boleh disalurkan untuk membiayai rancangan perbelanjaan lain,” ujarnya.

Bank pelaburan mengunjurkan perbelanjaan pembangunan akan dikekalkan sekitar RM80 bilion hingga RM86 bilion, dengan penerusan kerjasama awam-swasta (PPP) bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dan Jalan Raya Penghubung Sabah-Sarawak (Fasa 2).

“Belanjawan 2026 akan memperkukuh komitmen kerajaan untuk mengukuhkan ruang fiskal.

“Sejak 2021, defisit fiskal telah mengecil lebih dua peratus daripada KDNK, sekali gus memberi ruang yang lebih besar untuk memperkenalkan langkah rangsangan balas kitaran ekonomi pada masa kemelesetan akan datang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN