PETALING JAYA: Rangkaian kartel melibatkan tender perolehan aset ketenteraan amat membahayakan nyawa anggota semasa latihan dan operasi sebenar.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pendedahan demi pendedahan membabitkan perolehan aset, kelengkapan dan perkhidmatan serta moral memberi kesan langsung terhadap tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, isu moral menunjukkan budaya warisan asing yang tidak selari dengan nilai serta jati diri tempatan masih diamalkan dalam kalangan anggota tentera.
“Isu berkenaan bukan sahaja menonjolkan kelemahan tadbir urus, malah turut memberi kesan langsung terhadap kualiti aset pertahanan negara.
“Apabila kontrak dianugerahkan berasaskan sogokan dan bukannya merit serta keperluan sebenar, Tentera Darat berisiko memperoleh peralatan yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, penghayatan ajaran Islam perlu diterapkan lebih menyeluruh dalam diri setiap anggota keselamatan.
“Ketiadaan penghayatan agama yang sebenar bukan sahaja merosakkan akhlak dan sahsiah anggota, malah berpotensi melemahkan disiplin serta keselamatan negara secara keseluruhan.
“Pemuda Pas turut mendesak agar siasatan terhadap kedua-dua kes rasuah perolehan tender dan isu aktiviti tidak bermoral dijalankan secara adil, telus dan tegas tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan siasatan berjalan tanpa sebarang campur tangan pihak luar atau dalam, selain tiada kompromi boleh diberikan terhadap salah laku dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya terbukti bersalah. – UTUSAN










