Perluasan SST mampu jana tambahan hasil RM5 bilion pada 2025 - Utusan Malaysia

Perluasan SST mampu jana tambahan hasil RM5 bilion pada 2025

DENGAN kefahaman yang jelas tentang kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baharu membolehkan orang ramai berbelanja dengan bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLUASAN skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2025 dijangka menjana tambahan hasil sebanyak RM5 bilion atau 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026.

Menurut laporan, kutipan hasil SST diunjur mencecah paras yang direkodkan semasa era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan purata hampir tiga peratus daripada KDNK dalam tempoh jangka masa sederhana.

Katanya, ini berikutan gabungan kesan peluasan skop dan peningkatan penggunaan domestik.

“Pada 2024, kutipan hasil SST merekodkan sebanyak 2.3 peratus daripada KDNK yang merupakan pertambahan sebanyak 0.4 mata peratusan berbanding 2023 terutamanya didorong oleh pelaksanaan cukai perkhidmatan yang lebih tinggi pada kadar lapan peratus,” katanya.

Tambahnya, perluasan SST telah dirangka secara teratur bagi mengurangkan kesan kepada sosioekonomi khususnya rakyat dan perniagaan kecil.

Jelasnya, kerajaan melaksanakan perluasan SST bersasar secara strategik untuk mengelakkan beban tidak wajar dan meminimumkan kesan cukai berganda daripada sistem cukai.

“Pada masa sama, usaha turut diambil untuk menambah baik struktur cukai yang progresif bagi memastikan layanan cukai yang adil dan bersasar kepada semua kumpulan pendapatan.

“Pendekatan ini dapat menjamin hasil yang mencukupi bagi membolehkan kerajaan mengekalkan dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan berkesan.

“Secara keseluruhan, langkah tersebut membuktikan usaha kerajaan demi mencapai keseimbangan antara tanggungjawab fiskal dan kesaksamaan sosial dalam konteks pembaharuan polisi cukai yang lebih luas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN