PETALING JAYA: Hwajing Travel & Tours Sdn. Bhd. mengumumkan kapal persiaran pertama dari China yang akan berpangkalan di Malaysia, M/V Piano Land akan membuat kemunculan sulungnya bertepatan dengan Pameran MATTA Muslim-Friendly Travel Fair (MFTF) 2025.
Kolaborasi berkenaan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan kapal persiaran serantau serta peneraju global dalam pelancongan mesra Muslim berorientasikan keluarga.
Ini selaras dengan saranan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk meletakkan negara ini di barisan hadapan pelancongan inklusif.
Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong berkata, Malaysia kini melangkah lebih jauh dalam pelancongan mesra Muslim yang merentasi sempadan lautan.
“Kami membuktikan pelayaran mewah M/V Piano Land mampu menawarkan pengalaman yang mematuhi nilai-nilai halal serta meraikan kepelbagaian budaya.
“la mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menyambut pelancong dari pelbagai latar belakang dengan penuh tradisi dan kemesraan,” katanya dalam kenyataan.
Hwajing Travel & Tours tampil sebagai Rakan Rasmi Kapal Persiaran pameran tersebut.
Kapal persiaran itu akan membuat pelayaran sulung bermula 29 November ini,susulan pengumuman syarikat tersebut berkolaborasi bersama Astro Ocean Cruise sebelum ini.
Selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keterangkuman dan kecemerlangan halal, semua ruang dan peralatan dapur di dalam kapal persiaran berkenaan diperakui halal.
Selain itu, para penumpang dapat menikmati pelbagai pilihan sajian tempatan dan antarabangsa yang disediakan mengikut piawaian halal.
Ini termasuk itik panggang gaya Hong Kong (halal) yang menjadi sajian istimewa, agar semua penumpang dapat merasai keenakan hidangan terkenal ini.
Menariknya lagi, kemudahan ruang solat mesra pengguna serta program berorientasikan keluarga turut memastikan pengalaman yang selesa untuk tetamu daripada pelbagai peringkat umur.
Daripada sajian halal dan ruang solat yang selesa hinggalah ke kelab kanak-kanak dan persembahan malam, M/V Piano Land direka khas dengan konsep hospitaliti mesra Muslim.
Dalam pada itu, pelancaran M/V Piano Land melengkapi usaha berterusan Malaysia untuk memenuhi permintaan segmen pelancongan mesra Muslim yang berkembang pesat dengan nilai pasaran disasarkan melebihi AS$300 bilion menjelang 2030.
Sementara itu, Naib Presiden Astro Ocean Cruise, Jian-feng Tong berkata, dengan sokongan MATTA dan rakan-rakan strategik, kolaborasi itu mengukuhkan keupayaan Malaysia menawarkan pengalaman bertaraf dunia yang menghormati kepelbagaian nilai budaya dalam kalangan pelancong Muslim moden.
“Kolaborasi ini bukan sekadar memperluas pilihan pelayaran, tetapi turut memperkukuh identiti Malaysia sebagai negara yang meraikan kepelbagaian, menjunjung integriti halal serta menerajui rantau ini dalam pelancongan mesra Muslim,” ujarnya. – UTUSAN