PASARAN kewangan Malaysia kekal teratur dan terus beroperasi dengan berkesan meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran kewangan global susulan tekanan tarif berterusan, risiko geopolitik yang meningkat dan tempoh berpanjangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang tinggi, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.
Laporan itu berkata, pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan disokong oleh kedudukan modal institusi kewangan yang teguh dan pasaran modal yang beroperasi dengan lancar bagi menyokong aktiviti ekonomi.
“Dasar monetari yang menyokong dijangka akan merangsang pertumbuhan dengan menyediakan persekitaran kondusif untuk perniagaan dan isi rumah,” katanya dalam laporan itu.
Sementara itu, dasar monetari pada 2025 kekal tertumpu untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan ketidaktentuan global berlatarkan keadaan kestabilan harga dalam negeri.
“Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.00 peratus sepanjang separuh pertama tahun ini.
“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan untuk menurunkan OPR buat kali pertama sejak Mei 2023 dengan pengurangan sebanyak 25 mata asas (bps) daripada 3.0 kepada 2.75 peratus pada Julai 2025,” katanya.
Menurut laporan itu, pelarasan OPR merupakan langkah awalan bertujuan mengekalkan landasan pertumbuhan domestik yang stabil dalam keadaan ketidakpastian luaran berdasarkan prospek inflasi yang sederhana.
“Selain itu, pengurangan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2.0 kepada 1.0 peratus pada Mei 2025 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BNM untuk memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.
“Langkah ini akan memudahkan bank mengurus mudah tunai dengan lebih baik dalam persekitaran turun naik pasaran kewangan yang ketara dan menyediakan sokongan berterusan untuk aktiviti pengantaraan kewangan bagi mendepani persekitaran global yang mencabar,” katanya.
Selari dengan pengurangan OPR, kadar faedah dalam sistem perbankan telah diselaraskan sewajarnya.
Kadar Asas Standard (SBR) dan Kadar Asas (BR) oleh bank mencatatkan penurunan serta-merta dan secara langsung dengan bank komersial menyemak semula kadar dalam tempoh beberapa hari bagi mencerminkan perubahan ini.
Kadar faedah bagi deposit tetap dengan tempoh matang satu hingga 12 bulan menyederhana dalam julat 1.95 peratus hingga 2.22 peratus.
Sementara itu, purata kadar deposit simpanan berkurang sebanyak 5 bps kepada 0.37 peratus pada akhir Julai 2025.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
Melangkah ke hadapan, MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai risiko yang berkaitan dengan prospek pertumbuhan dan inflasi domestik.-UTUSAN