PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya menarik potensi pelaburan hijau berjumlah RM7.3 bilion sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025.
Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama pelaburan mampan di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap usaha Malaysia membina ekosistem industri hijau yang berdaya tahan dan bernilai tinggi.
“Potensi pelaburan hijau bernilai RM7.3 bilion yang telah kami jana membuktikan modal global mengiktiraf apa yang sedang kami bina melalui ekosistem perindustrian mampan yang mencipta nilai untuk pelabur sambil membawa kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia.
“Inilah cara kami mengubah aspirasi sifar bersih menjadi pertumbuhan positif bersih.
“Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Pelaburan Hijau merupakan pelan induk Malaysia untuk merebut peluang dalam ekonomi hijau Asia bernilai AS$1 trilion,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang IGEM 2025, sebanyak 38 sesi padanan perniagaan berimpak tinggi diadakan, selain termeterainya memorandum persefahaman antara MIDA dan Malayan Banking Bhd. (Maybank).
Sementara itu, inisiatif padanan perniagaan Biz Bridge yang dianjurkan bersama oleh MIDA dan Persatuan Industri Fotovoltaik dan Tenaga Mampan Malaysia (MPSEA) turut memainkan peranan penting dalam menghubungkan pembekal tenaga hijau dengan pembeli jangka panjang.
Presiden MPSEA, Justin Sim berkata, Biz Bridge menyediakan platform penting untuk pemain industri bekerjasama mempercepatkan pelaksanaan teknologi hijau dan memperkukuh rantaian bekalan tenaga boleh baharu negara.
“Kerjasama ini mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah tenaga bersih dan menempatkan negara sebagai hab tenaga hijau terkemuka di ASEAN,” katanya.
Di IGEM 2025, MIDA turut mempamerkan strategi pelaburan hijau negara melalui tujuh teras utama, termasuk promosi Elaun Cukai Pelaburan Hijau dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau sebagai insentif utama bagi menarik pelaburan baharu. – UTUSAN









