KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia melangkah ke fasa transformasi ekonomi seterusnya dengan memberi tumpuan kepada tiga sektor utama yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan negara iaitu semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi digital.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zalina Zainol berkata, ketiga-tiga sektor berkenaan bukan sahaja menunjukkan momentum kukuh, malah menjadi asas kepada daya saing jangka panjang Malaysia dalam era ekonomi berteraskan teknologi dan kelestarian.
Katanya, sektor semikonduktor terus memainkan peranan penting apabila Malaysia kini menjadi rumah kepada lebih 1,000 syarikat yang terlibat dalam pemasangan, ujian, reka bentuk dan pembuatan peralatan berasaskan cip.
“Dalam tahun pertama pelaksanaan Strategi Separuh Konduktor Nasional (NSS), sebanyak RM54.2 bilion pelaburan baharu berjaya menarik minat pelabur global, bukti jelas momentum itu sudah pun berlaku.
“Belanjawan 2026 pula memperkukuh perkembangan ini melalui peruntukan RM180 bilion di bawah Dana Pembangunan Industri NIMP khusus untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan berteknologi tinggi.
“Selain itu, insentif cukai turut dilanjutkan kepada syarikat yang melabur dalam reka bentuk dan penciptaan harta intelek (IP),” katanya semasa menyampaikan ucaptama bertajuk Menerokai Langkah Seterusnya: Tinjauan Ekonomi dan Peluang Selepas Belanjawan 2026 di Forum MDV Next Wave 2025 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai peralihan tenaga, Zalina berkata, ia merupakan antara perubahan terbesar dalam ekonomi global dan Malaysia tidak ketinggalan dalam usaha mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.
Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan telah mengenal pasti 10 projek utama termasuk tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, mobiliti hijau dan penangkapan karbon.
“Belanjawan 2026 memperkukuh agenda ini dengan pengenalan cukai karbon bagi sektor terpilih, elaun pelaburan hijau 100 peratus bagi syarikat yang menggunakan produk tempatan bertauliah MHL serta elaun modal dipercepat untuk infrastruktur tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.
Tambah Zalina, Malaysia juga sedang muncul sebagai pintu digital ASEAN, sebuah hab teknologi yang stabil, dipercayai dan terhubung.
“Kerajaan turut menumpukan pembangunan ekosistem bakat digital melalui agensi seperti TalentCorp, MyDigitalMaker dan Perian Digital Tech Institutions Network dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, bersedia menghadapi ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Kesemua inisiatif ini bukan sahaja memacu daya saing Malaysia dalam rantau ASEAN, malah mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama pelaburan berkualiti tinggi dan jangka panjang,” tambahnya. – UTUSAN










