PETALING JAYA: Malakoff Corp Bhd menganugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek solarnya di Perak kepada unit Solarvest Holdings Bhd.
Kumpulan itu melalui Malakoff Silver Solar Sdn Bhd, pemaju projek 470 megawatt di bawah Program LSS Petra 5+ telah memilih secara bersyarat Atlantic Blue Sdn Bhd sebagai kontraktor EPCC untuk pembangunan projek itu di Larut dan Matang, Perak.
Ladang solar ini merupakan antara pembangunan solar atas tanah terbesar di Malaysia.
Setelah siap, ia dijangka akan menjana kira-kira 967,544 MWh tenaga bersih setiap tahun, sekaligus mengurangkan sekitar 748,879 tan pelepasan karbon dioksida.
Projek ini juga akan mengukuhkan keselamatan tenaga negara dan mewujudkan peluang pekerjaan tempatan bernilai tinggi dalam sektor tenaga bersih Malaysia yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, pemeteraian ini menandakan kemajuan penting dalam peralihan Kumpulan ke arah tenaga yang lebih bersih.
Katanya, ini adalah pencapaian besar bagi Malakoff dalam memainkan peranan utama membangunkan projek solar terbesar negara di bawah Program LSS PETRA 5+.
“Ia mencerminkan aspirasi kami untuk merombak landskap tenaga Malaysia dan mempercepatkan peralihan ke arah penjanaan tenaga yang lebih bersih dan selamat.
“Projek ini merupakan sebahagian penting daripada portfolio tenaga boleh diperbaharui Malakoff sebanyak 768 MW dan mencerminkan kepemimpinan kami dalam mendorong peralihan tenaga negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiong berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan peralihan tenaga bersih Malaysia melalui inovasi, kecemerlangan teknikal dan penyampaian berkualiti sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Malaysia menyasarkan 70 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, yang memerlukan peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada sekitar 2.2 GW setahun daripada hanya 0.5 GW sebelum ini.
“Justeru, projek ini amat penting dalam memacu momentum, mengukuhkan keselamatan tenaga, dan meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau. Kami menantikan kerjasama bersama Malakoff bagi memastikan pelaksanaan yang berjaya dan sumbangan bermakna terhadap matlamat kelestarian negara,” katanya.
Jelas beliau, perkongsian ini menyerlahkan sinergi kukuh antara syarikat tenaga bersih terkemuka Malaysia dan sebuah syarikat multinasional terkemuka dalam penjanaan kuasa serta penyelesaian alam sekitar, yang bekerjasama untuk memacu agenda tenaga boleh diperbaharui negara.
“Dengan menggabungkan pengalaman luas Malakoff dalam penjanaan kuasa berskala besar dan kepakaran terbukti Solarvest dalam penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, kerjasama ini mengukuhkan kapasiti tempatan bagi pembangunan berskala utiliti.
“Ia juga mencerminkan kesiapsiagaan Malaysia untuk mempercepatkan peralihan ke arah masa depan tenaga yang lestari, sekali gus meletakkan kedua-dua organisasi sebagai pemacu utama kepada aspirasi rendah karbon dan sifar bersih negara.
“Projek ini turut menambah momentum ketara kepada buku pesanan kami yang semakin berkembang, sekali gus mengukuhkan trajektori pertumbuhan kami,” katanya.
Selain itu, pihaknya menjangkakan buku pesanan syarikat mencecah paras tertinggi baharu iaitu sekitar RM3.0 bilion menjelang akhir tahun kewangan, dipacu oleh lebih banyak kejayaan bidaan EPCC di bawah LSS5 dan LSS5+, serta projek tambahan di Borneo.
“Ini mencerminkan keupayaan pelaksanaan projek Solarvest yang kukuh, kerjasama strategik yang dipercayai dan peranan yang semakin besar dalam memajukan landskap tenaga bersih Malaysia,” katanya.
Pertukaran dokumen Surat Anugerah Bersyarat EPCC (CLOA) telah berlangsung antara Ketua Pembangunan Perniagaan Malakoff, Shajaratuddur Mohd. Ibrahim dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiongsemasa Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2025. -UTUSAN