PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menjalankan semakan berhubung gangguan perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Menurut kenyataan, pihaknya kini menyediakan dokumentasi teknikal serta data lengkap kepada APAD, termasuk maklumat berkaitan insiden perkhidmatan sejak sistem Aerotrain mula beroperasi pada 1 Julai lalu.
Jelasnya, sejak operasi dimulakan, sebanyak tiga insiden direkodkan masing-masing pada 12 Julai, 3 September dan 15 Oktober yang menyaksikan perkhidmatan Aerotrain dihentikan sementara sebelum penumpang diiring ke terminal mengikut prosedur keselamatan ditetapkan.
“Tiada satu pun daripada insiden ini menjejaskan operasi utama lain di lapangan terbang kerana pergerakan penumpang antara terminal utama dan bangunan satelit kekal lancar menerusi perkhidmatan bas ulang-alik.
“Semua kejadian, termasuk isu kecil, direkod serta dilaporkan kepada pihak berkuasa di bawah Kementerian Pengangkutan seperti yang diwajibkan, namun hanya tiga insiden ini memerlukan pemberhentian sementara perkhidmatan,” katanya.
MAHB berkata, kejadian pada 12 Julai dan 3 September berpunca daripada kehilangan kuasa akibat tercabutnya Current Collector Device (CCD) yang menjejaskan bekalan kuasa pada laluan pandu (guideway), sekali gus menyebabkan tren berhenti.
“Insiden ini berada dalam skop tanggungjawab Alstom, kontraktor utama Aerotrain yang bertanggungjawab terhadap sistem tren dan tarikan kuasa.
“Alstom telah menghantar pasukan untuk memulihkan perkhidmatan dan menjalankan siasatan terperinci terhadap punca utama kejadian tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, bagi insiden pada 15 Oktober, siasatan awal mendapati ia berpunca daripada gangguan bekalan kuasa (power trip) yang menjejaskan kedua-dua laluan pandu, di bawah tanggungjawab IJM-Pestech Joint Venture (IPJV) yang mengendalikan sistem pengagihan kuasa dan kerja pemasangan.
MAHB memaklumkan, ketiga-tiga insiden berlaku dalam tempoh liabiliti kecacatan (DLP), di mana kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerja pembaikan, prestasi dan kebolehpercayaan sistem.
“Pihak pengurusan tertinggi MAHB telah mengadakan beberapa mesyuarat teknikal bersama Alstom dan IPJV bagi mengenal pasti faktor penyumbang serta mempercepatkan langkah pembetulan.
“Sistem Aerotrain telah melalui proses ujian, pentauliahan dan pensijilan yang ketat sebelum dilancarkan, termasuk semakan penuh oleh jurutera pemeriksa bebas bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan prestasi.
“Susulan insiden terkini, MAHB akan melantik penilai bebas bagi melengkapkan semakan yang sedang dijalankan serta memberi jaminan tambahan terhadap reka bentuk bekalan kuasa, integriti pemasangan dan kebolehpercayaan keseluruhan sistem,” katanga.
Sejak mula beroperasi, tiga unit Aerotrain itu telah membawa lebih 5.75 juta penumpang, melengkapkan lebih 42,000 perjalanan serta mencapai kadar ketersediaan operasi (OSA) sebanyak 99.23 peratus.
“Paling penting, tiada gangguan besar berlaku yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan mereka, sekali gus mencerminkan keberkesanan langkah kontingensi dan pemulihan operasi lapangan terbang.
“MAHB berkomitmen berterusan untuk memastikan sistem Aerotrain KLIA kekal selamat, boleh dipercayai serta mematuhi semua piawaian peraturan dan perjanjian tahap perkhidmatan.
“Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan utama dan MAHB akan terus bekerjasama rapat dengan APAD serta Kementerian Pengangkutan bagi memperkukuh prestasi sistem dan mengekalkan keyakinan orang ramai,” katanya. – UTUSAN