PETALING JAYA: Liberty General Insurance Berhad (Liberty) dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan Pelan Insurans Rahmah, satu inisiatif yang menyokong agenda kesejahteraan rakyat di bawah program Rahmah kerajaan.
Usaha tersebut adalah untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati perlindungan insurans yang mampu milik dan mudah diakses.
Pelan Insurans Rahmah menawarkan dua produk utama iaitu auto365 Comprehensive Lite, iaitu perlindungan asas insurans kenderaan bermotor dan Insurans Kemalangan Diri Right Cover yang memberi perlindungan 24 jam di seluruh dunia terhadap kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Liberty General Insurance Berhad, Puneet Pasricha (Pasha) berkata, inisiatif itu bertujuan membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan asas tanpa terbeban dengan kos premium yang tinggi.
“Kami memahami bahawa bagi ramai rakyat Malaysia, kemalangan kecil atau perbelanjaan luar jangka boleh menjadi beban besar yang menjejaskan kelangsungan hidup mereka.
“Melalui Pelan Insurans Rahmah, kami menawarkan perlindungan asas tetapi penting untuk kenderaan dan diri mereka, pada kadar berpatutan. Ia adalah sebahagian daripada harapan kami untuk memastikan setiap individu dan keluarga dapat hidup dengan martabat serta ketenangan fikiran yang datang daripada perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan.
Pelan tersebut diluluskan di bawah seliaan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali, dilihat sebagai langkah proaktif dalam merapatkan jurang perlindungan insurans, terutamanya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan pekerja tidak formal.
Pakej ini juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperluas akses kepada barangan dan perkhidmatan asas yang lebih mampu milik bagi semua lapisan masyarakat, sejajar dengan semangat inisiatif Rahmah.
Selain menyediakan perlindungan asas, Liberty turut menekankan aspek pendidikan kewangan dan kesedaran insurans, bagi membantu masyarakat memahami kepentingan perlindungan serta membuat pilihan pelan yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan mereka.
Bagi produk auto365 Comprehensive Lite, pelanggan akan menikmati perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan akibat kemalangan, kebakaran atau kecurian, termasuk liabiliti kepada pihak ketiga bagi kecederaan, kematian atau kerosakan harta benda.
Pelan ini turut menyediakan bantuan tunda sehingga RM200 untuk kemalangan dan boleh ditambah dengan perlindungan tambahan seperti Perlindungan Kemalangan Peribadi, Perlindungan Semua Pemandu serta Bantuan Tunda Kerosakan.
Sementara itu, Insurans Kemalangan Diri Right Cover pula ditawarkan pada kadar premium serendah RM13 setahun, merangkumi perlindungan terhadap kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal dan elaun khairat kematian sekali gus menjadikannya antara pelan paling mampu milik di pasaran.
Dengan gabungan ciri mudah, harga berpatutan dan capaian meluas, Liberty menyasarkan untuk menarik minat golongan B40, pekerja gig, serta pemilik perniagaan kecil yang sebelum ini tidak mempunyai perlindungan mencukupi. – UTUSAN