Kerajaan perkukuh pengurusan fiskal, kawal liabiliti luar jangka - Utusan Malaysia

Kerajaan perkukuh pengurusan fiskal, kawal liabiliti luar jangka

KERAJAAN menetapkan dua sasaran jangka masa sederhana di bawah Akta Kewangan Awan dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkembangan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini menuntut kerajaan melaksanakan pengurusan risiko fiskal secara lebih proaktif bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kedudukan fiskal negara kekal mampan.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, ketegangan geopolitik yang berlarutan serta tindakan perlindungan perdagangan di peringkat global telah menjejaskan rantaian bekalan dan dinamik perdagangan antarabangsa.

“Keadaan ini, bersama penyederhanaan harga komoditi, turun naik pasaran kewangan serta kejutan berkaitan iklim, dijangka memberi kesan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia dan boleh memperlahankan momentum konsolidasi fiskal,” katanya.

Katanya, peringkat domestik, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030 akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, peningkatan sokongan kepada isi rumah berpendapatan rendah serta usaha mempercepat peralihan tenaga.

“Namun, pelaksanaan agenda tersebut memerlukan sumber peruntukan yang besar, termasuk melalui peruntukan belanjawan langsung, instrumen kuasi-fiskal serta inisiatif kerjasama awam-swasta (PPP).

“Kerajaan perlu mengurus dan mengurangkan pendedahan risiko secara berhemat bagi meminimumkan kemungkinan penzahiran liabiliti luar jangka yang boleh memberi kesan langsung terhadap kos fiskal,” jelas laporan itu.

Dalam masa sama, usaha menambah baik ketelusan dan akauntabiliti fiskal turut diperhebat melalui perancangan dan pelaksanaan kerangka tadbir urus yang menyeluruh bagi penggunaan instrumen kuasi-fiskal dan pengurusan entiti milik kerajaan (GLC).

Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] menjadi asas penting kepada pengurusan fiskal negara yang lebih kukuh dengan menetapkan dasar yang jelas, struktur tadbir urus menyeluruh serta keperluan pelaporan yang komprehensif.

Selain itu, kelulusan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 dan cadangan penggubalan beberapa undang-undang baharu berkaitan kerjasama awam-swasta serta entiti milik kerajaan akan melengkapi asas perundangan yang digariskan dalam Akta 850.

“Langkah-langkah ini akan memperkukuh pengurusan hutang dan liabiliti secara berhemat, memastikan ketersediaan ruang fiskal yang mencukupi, meningkatkan daya tahan terhadap kejutan luar serta mengekalkan keyakinan pelabur,” katanya.

Tambah laporan itu, pengurusan fiskal yang berdisiplin adalah kunci kepada kemampanan dan keterangkuman pembangunan negara, selaras dengan matlamat RMK13 untuk memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia dalam jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN