Dekorasi ranting hidupkan ruang polos

Dekorasi ranting hidupkan ruang polos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebuah kediaman yang berlatarkan konsep moden, sebatang ranting tinggi menjulur mencuri perhatian.

Ia bukan sekadar pengisi ruang kosong, tetapi satu pernyataan berani yang menggabungkan estetika dan emosi.

Pemiliknya, pasangan Nur Alia Izzati Ibrahim, 33, dan suami tercinta Mohd. Shukur Ahmad Sukri, 35, menjadikan elemen semula jadi ini sebagai tanda hormat pada keindahan alam yang sering dipandang sepi.

“Idea ini datang daripada suami, dia nampak ranting itu semasa kami di ruang niaga. Bentuknya menjulur ke atas, tinggi dan unik.

“Katanya, ranting itu sesuai dijadikan dekorasi dinding sebab boleh beri efek ruang yang lebih penuh dan memenuhi kekosongan pada dinding. Suami memang mahukan sedikit kelainan memandangkan ruang

dinding lain dalam rumah lebih kepada konsep moden,” katanya kepada Seri.

Mohd. Shukur yang juga seorang pereka hiasan dalaman tidak melihat ranting sebagai bahan terbuang sebaliknya sebagai elemen penuh karakter yang mampu melengkapkan ruang.

Dekorasi ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberi sentuhan luar biasa selain menjadi titik imbangan antara elemen moden dengan keindahan semula jadi.

Baginya, ranting itu bukan hanya kayu mati, tetapi potensi hiasan berdimensi yang boleh menghidupkan ruang, malah menyuntik sedikit kelainan pada keseluruhan konsep moden kediaman.

Bagi pasangan ini, ranting membawa jiwa.

Ia hadir dengan tekstur, lengkung dan ketidaksempurnaan yang tidak dapat ditiru oleh rekaan moden.

“Dekorasi moden pula cantik dan terlalu sempurna, tetapi ranting datang dengan ketidaksempurnaan yang buat kami rasa dekat dan ‘hidup’.

“Suami suka mencuba sesuatu yang orang rasa mustahil. Ranting mungkin nampak tidak berguna bagi orang lain, tetapi bagi seseorang yang berjiwa seni, ia berubah jadi sesuatu yang luar biasa. Kami rasa puas bila dapat ubah sesuatu yang orang buang, jadi sesuatu yang orang pandang,” ujarnya.

RAWATAN TAHAN LAMA
Bagi memastikan ranting tahan lama dan kekal cantik, mereka menggunakan bahan khas seperti syelek warna kayu dan lapisan pelindung.

Proses rawatan ini dilakukan sendiri oleh pasangan ini, daripada awal hingga akhir.

Setiap sapuan berus pada permukaan ranting bukan hanya bertujuan melindunginya dari reput, kulat dan serangga tetapi menambah nilai sentimental pada hasil kerja.

Ia bukan lagi sekadar hiasan, tetapi karya tangan dan hati.

“Lapisan ini membantu mengelak kelembapan, kulat dan serangan serangga.

“Selain syelek dan varnis untuk melindungi permukaan ranting, kami juga menyembur sedikit racun serangga.

“Tujuannya untuk mengelak ranting dimakan serangga dari dalam. Langkah ini penting terutama kalau ranting diambil terus dari alam semula jadi,” ujarnya.

Bagi Nur Alia Izzati, dinding ranting itu menjadi sudut kegemaran dalam rumahnya.

“Setiap kali tengok hasilnya, saya rasa bangga sebab ia bukan sekadar dekorasi, tetapi latar yang ada cerita dan usaha kami di sebaliknya.

“Sejujurnya apabila orang puji, kami rasa bukan kami yang cantikkan dinding itu, tetapi alam. Alam yang beri kami peluang untuk berkongsi keindahannya dengan cara kami sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN