Selangor terima tambahan RM890 juta laksana RTB Sungai Buloh Fasa 2

Selangor terima tambahan RM890 juta laksana RTB Sungai Buloh Fasa 2

RTB Sungai Buloh
IZHAM Hashim (kanan) mendengar taklimat semasa melawat Taman Rekreasi Paya Bakau pada program Hari Air Sedunia peringkat Selangor dekat Sijangkang, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Selangor menerima tambahan sebanyak RM890 juta menerusi Belanjawan Madani 2026 yang dibentangkan semalam bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini melibatkan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, peruntukan tersebut adalah yang terbesar bagi projek RTB berkenaan dalam usaha mencegah kejadian banjir di negeri ini pada masa depan.

“Peruntukan daripada kerajaan pusat sememangnya banyak kerana kita menguruskan sungai-sungai yang banyak dengan penduduk yang padat di samping industri-industri besar di Selangor.

“Setakat ini RM3.5 bilion (bajet keseluruhan RTB di Selangor) sedang berjalan. Kita memohon peruntukan projek-projek besar antaranya RTB Sungai Buloh Fasa 2 yang bernilai sekitar RM890 juta dan alhamdulillah diluluskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Air Sedunia peringkat negeri, hari ini.

Semalam, dalam pembentangan Belanjawan Madani 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Izham berkata, selain RTB tersebut, terdapat beberapa peruntukan untuk projek yang sama di kawasan lain diluluskan dan siap reka bentuknya.

“Antara peruntukan untuk projek RTB yang diluluskan adalah Projek RTB Sungai Langat Fasa 2,yang mana kita telah mendapat sebahagian bajet sebanyak RM400 juta lebih. Untuk menyiapkannya kita memerlukan peruntukan tambahan.

“Apabila keseluruhan projek itu siap, Sungai Langat kelak akan dapat diurus dengan baik. Projek RTB Kuala Langat pula akan dimulakan hingga sampai ke laut,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada Julai lalu melaporkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menerima peruntukan berjumlah RM548 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi melaksanakan 12 projek mitigasi banjir di lapan kawasan sekitar Hulu Langat.

Daripada peruntukan tersebut, sebanyak RM36 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan projek tebatan melibatkan naik taraf ban, sistem saliran dan pemasangan pam di Kampung Rinching, Semenyih serta Kampung Batu 10, Cheras.

Sebanyak RM512 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 di Bandar Kajang, Kampung Sungai Serai, Kampung Sungai Lui, Kampung Dusun Tua Nanding, Taman Sri Jelok dan Sungai Kantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN