PETALING JAYA: Kerajaan dijangka melaksanakan sistem berasaskan pengesahan identiti (ID) bagi mengehadkan pembelian minyak masak bersubsidi sebagai langkah menangani ketirisan.
Menurut CGS International, kerajaan kini menanggung subsidi bagi minyak masak paket 1.0 kilogram (kg) dengan kuota bulanan sebanyak 60,000 tan, dijual pada harga RM2.50 seunit berbanding harga pasaran RM6.90.
“Pendedahan terkini dalam Laporan Ketua Audit Negara 2025 menunjukkan dasar semasa bagi minyak masak bersubsidi masih belum mempunyai pendekatan menyeluruh, menyebabkan berlakunya ketirisan.
“Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) baru-baru ini melaporkan sedang membangunkan aplikasi yang akan memerlukan pengesahan ID untuk membeli pek minyak masak bersubsidi,” katanya dalam laporan penyelidikan Pratonton Belanjawan 2026.
Firma itu berkata, berdasarkan akaun diaudit kerajaan, subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak telah menelan belanja RM1.7 bilion pada 2023.
Mengulas mengenai subsidi diesel, firma itu berkata, pada Jun 2024, Malaysia telah menamatkan subsidi diesel menyeluruh bagi sektor pengangkutan melalui pelaksanaan sistem Kad Fleet.
“Namun begitu, Sabah dan Sarawak masih dikecualikan daripada rasionalisasi harga, dengan harga diesel kekal pada kadar subsidi RM2.15 seliter.
“Pengecualian ini mencerminkan cabaran unik yang dihadapi oleh rantau tersebut, termasuk peratusan tinggi kenderaan berkuasa diesel dan populasi luar bandar yang besar.
“Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa langkah ke arah subsidi diesel yang lebih bersasar, serta usaha kerajaan untuk mengurangkan ketirisan, boleh diperluaskan ke kedua-dua negeri Borneo ini.
“Salah satu cara yang mungkin dilaksanakan ialah dengan mencontohi penggunaan MyKad untuk mengakses diesel bersubsidi, seperti rancangan bagi RON95,” ujarnya
Dalam pada itu CGS International berkata, peruntukan diesel semasa bagi nelayan pula membolehkan mereka membeli bahan api tersebut pada harga subsidi RM1.65 seliter, berbanding harga pasaran semasa RM2.90.
“Disebabkan perbezaan harga yang besar ini, ketirisan kerap berlaku, khususnya di kawasan sempadan.
“Akibatnya, kerajaan dilihat merancang untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu dan sistem pengecaman wajah bagi menggantikan peranti digital peribadi lama agar meningkatkan keselamatan dan mencegah penyalahgunaan,” ujarnya. – UTUSAN