Institusi kewangan terus tunjuk daya tahan operasi kukuh

Institusi kewangan terus tunjuk daya tahan operasi kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institusi kewangan terus menunjukkan daya tahan operasi yang kukuh pada separuh pertama tahun ini.

Sebagai tindak balas terhadap ancaman siber yang berterusan, institusi mempertingkatkan keupayaan keselamatan siber masing-masing, lantas menyokong pengesanan, pembendungan dan tindak balas ancaman dilaksanakan dengan lebih berkesan. 

Kesemua usaha ini telah membantu mengurangkan gangguan operasi dan memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan.

Timbalan Gabenor BNM, Aznan Abdul Aziz berkata, risiko penipuan semakin beralih ke arah penipuan dengan kebenaran (authorised scams) yang melibatkan taktik kejuruteraan sosial.

“BNM dan industri kewangan telah bertindak balas dengan memperkukuh langkah-langkah pengesanan penipuan dan memperluas inisiatif kesedaran dalam kalangan orang ramai. 

“Hal ini termasuk usaha berterusan untuk menaik taraf National Fraud Portal bagi mempertingkatkan pengesanan transaksi mencurigakan serta melindungi mangsa dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan. 

Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dan sistem pembayaran runcit (RPS) utama mengekalkan tahap ketersediaan sistem yang tinggi pada separuh pertama tahun 2025, tanpa sebarang insiden operasi atau insiden siber yang serius dilaporkan. 

Berikutan rangkaian pembayaran Respons Pantas (QR) rentas sempadan serantau yang terus berkembang, BNM akan terus memperkukuh pengawasan terhadap pengaturan pembayaran rentas sempadan. 

Usaha ini akan dicapai melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa pengawalseliaan berkaitan untuk memastikan daya tahan dan keselamatan kesemua sistem ini berterusan.

Dalam pada itu, Aznan berkata, institusi kewangan Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyokong kegiatan ekonomi pada separuh pertama tahun 2025. 

Katanya, setakat akhir bulan Jun 2025, nisbah jumlah modal sistem perbankan berada pada 18.2 peratus, dengan lebihan penampan modal sebanyak RM138.9 bilion.

“Sektor insurans dan takaful juga terus mencatatkan kedudukan modal yang kukuh, dengan nisbah kecukupan modal agregat sebanyak 223 peratus dan lebihan penampan modal sebanyak RM42 bilion. 

“Kesemua penampan ini memastikan institusi kewangan kekal berada pada kedudukan yang kukuh untuk menampung kerugian yang tidak dijangka dan pada masa yang sama terus memenuhi keperluan pembiayaan serta perlindungan isi rumah dan perniagaan apabila kegiatan ekonomi terus berkembang,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN