PETALING JAYA: Kadar inflasi utama di rantau ASEAN+3 dijangka kekal stabil pada paras 1.0 peratus sepanjang tahun 2025, sebelum mencatat sedikit peningkatan kepada 1.1 peratus pada 2026, menurut laporan Kemaskini Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3.
Menurut laporan, trend inflasi yang rendah ini didorong oleh penurunan harga komoditi global, walaupun pasaran minyak sempat mencatat lonjakan sementara ekoran ketegangan geopolitik di Asia Barat pada Jun lalu.
Katanya, dengan harga minyak kini kembali stabil dan permintaan global masih lemah, tekanan harga dari luar dijangka kekal terkawal.
“Peningkatan kecil dalam inflasi pada 2026 sebahagian besarnya berpunca daripada penyesuaian semula dinamik harga serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi di beberapa negara,” menurut laporan tersebut.
AMRO berkata, walaupun inflasi terkawal memberi ruang kepada kestabilan harga pengguna, risiko terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi rantau ini kekal cenderung kepada penurunan.
“Ketidaktentuan dasar di Amerika Syarikat (AS) khususnya berkaitan perdagangan dan tarif, dilihat sebagai antara faktor utama yang boleh memberi kesan langsung kepada ASEAN+3, memandangkan AS merupakan rakan dagang utama rantau ini,” katanya.
Selain itu, beberapa risiko lain turut dikenal pasti kemungkinan kelembapan ekonomi di negara-negara utama, ketegangan geopolitik yang berlarutan volatiliti pasaran kewangan global serta kelemahan struktur dalaman ekonomi sesetengah negara.
Namun begitu, laporan tersebut turut menyatakan terdapat potensi pemulihan lebih kukuh sekiranya pertumbuhan eksport terutamanya dalam sektor semikonduktor, melebihi jangkaan.
Di samping itu, komitmen Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang tinggi di beberapa negara ASEAN dijangka menyokong pertumbuhan pelaburan swasta sekiranya diterjemahkan kepada projek sebenar dalam masa terdekat. – UTUSAN