PETALING JAYA: Inflasi Malaysia meningkat 1.5 peratus pada September 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.2 berbanding 133.2 pada bulan yang sama tahun 2024, menurut laporan keluaran Indeks Harga Pengguna (IHP) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut kenyataannya, peningkatan tersebut didorong kenaikan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan sebanyak 4.8 peratus berbanding 4.0 peratus pada Ogos.
Beberapa kumpulan lain turut meningkat termasuk makanan dan minuman dengan 2.1 peratus, perumahan (1.5 peratus), kesihatan (1.3 peratus) dan pengangkutan (0.7 peratus), manakala restoran dan perkhidmatan penginapan serta minuman alkohol dan tembakau mencatat pertumbuhan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.
Selain itu, insurans dan perkhidmatan kewangan sebanyak 5.6 peratus, pendidikan (2.4 peratus) serta rekreasi, sukan dan kebudayaan (0.9 peratus) kekal stabil pada September 2025, manakala maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut terus mencatat penurunan iaitu negatif 4.5 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 59.9 peratus atau 343 daripada 573 item mencatat kenaikan harga pada September 2025, dengan 97.1 peratus daripadanya meningkat tidak melebihi 10 peratus.
Katanya, hanya 10 item merekodkan kenaikan lebih 10 peratus, manakala 181 item menunjukkan penurunan dan 49 item kekal tidak berubah.
“Inflasi subkumpulan makanan di luar rumah naik kepada 4.4 peratus pada September 2025, manakala makanan di rumah kekal 0.1 peratus. Kenaikan disokong oleh harga ikan, minyak dan gula, namun diimbangi penurunan sayur-sayuran, bijirin dan daging.
“Selain itu, kelas perbelanjaan daging turut menurun kepada negatif 0.1 peratus pada September 2025. Penurunan ini disumbangkan oleh penurunan daging lembu tempatan, negatif 4.2 peratus dan bahagian ayam (sejuk beku), negatif 2.2 peratus.
“Namun begitu, daging ayam segar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging merekodkan peningkatan marginal kepada 0.6 peratus berbanding 0.2 peratus pada Ogos 2025,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengumpulan data, purata harga ayam standard Malaysia pada September 2025 adalah RM10.29 sekilogram berbanding RM10.47 sekilogram pada September 2024.
Tambahnya, purata harga ayam standard di Semenanjung Malaysia pada September 2025 adalah RM9.51 sekilogram berbanding RM9.38 sekilogram pada September 2024.
Mohd Uzir berkata, inflasi makanan di luar rumah naik kepada 4.4 peratus dengan peningkatan harga kuih-muih, burger dan nasi campur, manakala makanan di rumah kekal pada 0.1 peratus. Harga telur meningkat ketara kepada 2.2 peratus.
Sementara itu, beliau berkata, inflasi negara meningkat 1.5 peratus pada September 2025, dipacu oleh kenaikan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan 4.8 peratus, insurans dan perkhidmatan kewangan 5.6 peratus serta makanan dan minuman 3.6 peratus.
“Bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, inflasi meningkat 1.5 peratus, disokong oleh kenaikan sewa dan kos penyelenggaraan rumah.
“Pengangkutan turut meningkat 0.7 peratus sejajar dengan kenaikan harga petrol RON97 kepada RM3.19 seliter dan diesel RM2.91 seliter.
“Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 pada akhir September dijangka memberi kesan lebih ketara terhadap inflasi Oktober dengan lima negeri mencatat kadar melebihi paras nasional iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Terengganu, manakala Kelantan merekodkan inflasi terendah 0.5 peratus.
“Secara keseluruhan, inflasi suku ketiga meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun dengan inflasi teras naik kepada 2.1 peratus,” ujarnya. – UTUSAN